Bekas penyelia kilang terselamat daripada tali gantung

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang bekas penyelia kilang terselamat daripada tali gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada tiga pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Tan Teck Keong di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata pihak pendakwaan juga gagal membuktikan bahawa dadah berkenaan berada dalam pengetahuan, jagaan dan kawalan tertuduh.

Lelaki berumur 36 tahun itu diwakili peguam Datuk Hariharan Tara Singh manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli.

Mengikut pertuduhan pertama, Tan didakwa mengedar dadah berbahaya jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 369.9 gram di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek, Klang dekat sini pada 3 pagi, 16 Nov 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan diboleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang boleh dihukum gantung jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, Tan didakwa memiliki dadah berbahaya jenis Nimetazepam masing-masing seberat 148.8 gram dan 51.3 gram pada tarikh, lokasi dan waktu yang sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Sekyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Seramai sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu yang bermula pada 1 April lepas. - Bernama