Usul wajibkan MP isytihar harta dibentang di Parlimen

Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen ke-14 bermula hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen ke-14 bermula hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan hari ini membentangkan usul untuk mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang dan keluarga mereka mengisytiharkan pendapatan dan aset kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) yang membentangkan usul itu di Dewan Rakyat mewakili kerajaan menegaskan, usul dibuat berlandaskan perjuangan kerajaan di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang memperjuangkan prinsip akauntabiliti dan ketelusan.

“Maka anggota-anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen kerajaan telah mengisytiharkan harta mereka dalam Akuan Berkanun sebagaimana yang terkandung dalam kod etika bagi anggota-anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen yang telah dipaparkan dalam portal SPRM.

“Sesuai dengan prinsip akauntabiliti dan ketelusan, semua Ahli Dewan Rakyat hendaklah mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak dan pemegang amanah dalam Akuan Berkanun sebagaimana yang ditetapkan oleh Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat,” katanya di sini hari ini.

Tambah Vui Keong, untuk itu Ahli Parlimen perlu mengemukakan akuan berkanun kepada Speaker dalam tempoh tiga bulan dari tarikh usul ini dipersetujui dan disalinkan kepada SPRM.

“Senarai nama Ahli Dewan Rakyat yang telah mengisytiharkan harta hendaklah dipaparkan dalam portal SPRM dan hanya butiran pengisytiharan harta Ahli Dewan Rakyat tersebut sahaja yang akan dipaparkan di portal tersebut selama tempoh tiga bulan (sehingga 1 Oktober) dari tarikh penerimaan Akuan Berkanun oleh SPRM," katanya.

Tegasnya usul yang dibentangkan hari ini terpakai kepada semua Ahli Dewan Rakyat, suami atau isteri, anak yang berumur 21 tahun ke bawah dan semua pemegang amanah yang berkaitan.

“Akuan Berkanun tersebut kelak akan mempunyai 3 borang masing-masing berkaitan perisytiharan harta, perisytiharan harta tambahan dan pelupusan harta. Kesemua Akuan Berkanun ini perlu diakui sumpah sebagaimana yang ditetapkan dalam Akta Akuan Berkanun 1960 [Akta 783],” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Usul itu akan dibahas wakil rakyat kerajaan dan pembangkang sebelum ia diluluskan secara rasmi.

Pada 27 Jun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, usul untuk mewajibkan setiap wakil rakyat perlu mengisytiharkan harta masing-masing akan dibentangkan dalam sidang Parlimen.

Menurutnya, setiap wakil rakyat termasuk pembangkang mempunyai pengaruh yang tersendiri, sekali gus perlu dihindari daripada menggunakan kedudukan untuk mendapatkan habuan.

Sidang Dewan Rakyat Penggal Kedua Parlimen Ke-14 bermula hari ini hingga 18 Julai nanti.