250 kilang bahan kimia di Pasir Gudang diperiksa

Mohd Khuzzan pada sidang media, di sini hari ini.
Mohd Khuzzan pada sidang media, di sini hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan memeriksa 250 kilang yang mengendalikan bahan-bahan kimia di Pasir Gudang.

Exco Kesihatan, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, tindakan itu bagi memastikan pengendalian gas kimia di Pasir Gudang mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor pula akan meningkatkan penguatkuasaan bagi penyingkiran bahan sisa industri berhampiran kawasan perumahan dan sekolah.

"JKKP akan buat pemeriksaan inventori di 250 premis kilang mengendalikan bahan-bahan kimia yang ada di Pasir Gudang mematuhi SOP ditetapkan.

"JAS tingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan juga penyingkiran bahan-bahan sisa industri di lokasi berhampiran dengan taman perumahan dan sekolah," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Semalam, 273 pelajar dan guru mengalami gangguan kesihatan melibatkan 27 sekolah di Pasir Gudang, namun sesi persekolahan tetap diteruskan dengan pelajar tingkat atas dipindahkan ke tingkat bawah, hari ini.

Insiden itu berlaku sekali lagi selepas dua gelombang sama sebelum ini yang bermula 20 Jun dan 23 Jun lalu di mana pelajar dari dua sekolah di Taman Mawar dan orang awam dilaporkan mengalami simptom muntah-muntah dan pening.

Sekolah di kawasan Pasir Gudang kemudiannya diarahkan bercuti sehingga 27 Jun lalu dan dibuka semula semalam sebelum beberapa pelajar dilaporkan mengalami simptom sama.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian semalam, 101 orang dihantar ke klinik kesihatan untuk saringan dengan 10 pelajar dirujuk ke Hospital Sultan Ismail untuk pemeriksaan lanjut.