Penganjur pertandingan tarian mohon maaf pada KPM

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan menerima permohonan maaf daripada penganjur pertandingan tarian yang menampilkan peserta persembahan memakai pakaian menjolok mata di sebuah hotel di Ipoh, Perak, pada Sabtu.

Perkara itu disahkan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching kepada Astro Awani melalui satu kenyataan media yang dihantar penganjur JJ & Alice Danceworld.

Penganjur pertandingan, JJ & Alice Danceworld dalam satu kenyataan semalam membuat permohonan maaf selepas gagal mematuhi kod pakaian dalam dua majlis iaitu Perak MUDA Medalist Dancesport Competitions 2019 dan 7th Perak Show Dance Champonships 2019.

Alice Ho berkata, KPM dan Persatuan Tarian Malaysia Bersatu (MUDA) telah menyatakan kod pakaian yang harus dipatuhi, namun pihaknya mendakwa terlepas pandang dan tidak memaklumkan perkara itu kepada peserta pertandingan.

“Kami memohon maaf atas kesilapan kami yang telah memberi kesan kepada KPM dan MUDA.

“Kami amat kesal dengan apa yang berlaku terutamanya penyalahgunaan logo KPM sebagai hiasan pentas tanpa membuat sebarang penyelarasan terlebih dahulu,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Menurut Alice, dia turut memohon maaf kepada KPM dan MUDA atas segala kesulitan termasuk menjejaskan reputasi dan kedudukan kedua-dua pihak itu disebabkan kesilapan daripada pihaknya.

Terdahulu, gambar-gambar peserta pertandingan tarian itu tular di media sosial dengan rata-rata netizen mengecam tindakan KPM yang dilihat turut terlibat dalam majlis yang dianggap tidak bermoral itu.

Artikel Berkaitan:

KPM telah menerima kecaman selepas didakwa menjalin kerjasama dalam menganjurkan pertandingan tarian tersebut.