Kerajaan digesa perketat undang-undang perjudian

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
A
A
A

KUALA NERUS - Kerajaan Persekutuan didesak supaya menyelaras dan mengetatkan semua undang-undang perjudian sekaligus mengisytiharkannya sebagai suatu aktiviti jenayah di masa hadapan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali melontarkan desakan itu berkata, tindakan tersebut selari dengan apa yang disifatkan ALLAH sebagai perbuatan kotor dari amalan syaitan.

Menurut Khairuddin yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, judi sama ada secara berlesen atau tidak tetap haram dan salah dalam semua agama mahupun budaya kemanusiaan.

"Saya mengelak menggunakan istilah judi haram yang selalu digunakan oleh media bagi merujuk kepada judi tidak berlesen untuk mengelakkan salah faham masyarakat bahawa hanya judi tidak berlesen adalah haram, manakala yang berlesen pula adalah halal," katanya.

Dalam pada itu, Khairuddin mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berjaya menahan 14,759 individu termasuk menangkap 92 pengendali premis serta merampas RM3.8 juta dan 10,361 peralatan dalam serbuan ke atas 8,775 premis judi tidak berlesen sejak Januari lalu di seluruh negara.

Katanya, usaha dan kejayaan itu dilihat selari dengan komitmen yang disuarakan Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Abdul Hamid Bador untuk membanteras jenayah judi di negara ini.

Namun, beliau mengingatkan bahawa aktiviti perjudian tidak berlesen akan terus wujud jika industri perjudian di negara ini terus subur kerana diberikan lesen kebenaran bagi membolehkan kerajaan mengutip cukai tertentu daripadanya.

"Cukai itu menyumbang pendapatan yang besar kepada negara. Perolehan cukai tidak menghalalkan aktiviti judi yang haram pada agama meskipun halal pada undang-undang negara malah ia menjadi baja menyuburkan judi tidak berlesen pula.

Artikel Berkaitan:

"Tidak sepatutnya kebenaran diberikan bagi menjalankan aktiviti itu secara sah di sisi undang-undang untuk memenuhi kehendak dan hak sebilangan orang dan dibiarkan sehingga merosakkan masyarakat dan negara," katanya.

Katanya, ungkapan judi ibu segala jenayah seperti yang disifatkan oleh KPN sewajarnya diberikan perhatian serius dan difahami ketika mentakrifkan semua bentuk perjudian tanpa mengambil kira sama ada ia dijalankan secara berlesen atau tidak.