Artis baharu lemah disiplin dan pengurusan masa: Fendi London

Fendi London
Fendi London
A
A
A

KEMBARA seni Fendi London ini bermula sekitar 1993. Ketika itu, dia berkecimpung sebagai jurusolek artis.

Dua tahun berikut, tidak hanya sebagai jurusolek, pemilik nama penuh Mohd Effendi Abu Seman ini turut mencuri peluang pengalaman sebagai seorang pelakon.

Bagaimanapun, episod hitam berlaku pada era kegawatan ekonomi pada 1997 sehingga memaksa beliau berpindah dan menetap di London. Sedekad berlalu, pada pertengahan tahun 2010, Fendi kemudiannya pulang ke tanah air dan bekerja semula sebagai seorang pengurus produksi secara serius di bawah Syarikat Zeel Production Sdn Bhd sehingga kini.

Berpeluang bertemu empat mata baru-baru ini, penulis mengambil kesempatan bertanyakan beberapa isu yang pernah dilaluinya termasuklah perihal artis hari ini.

Boleh saudara kongsikan cabaran sebagai seorang pengurus produksi?

Pertamanya dari segi tenaga, ketika di usia muda masih cergas dan aktif ke pelbagai tempat, tetapi bila sudah berumur sekarang ini agak terhad sikit.

Keduanya pula, pencarian pelapis baharu yang ada kriteria-kriteria pada watak supaya sesuai untuk digandingkan.

Ketiganya pula soal kewangan, pernah terjadi insiden duit tiba-tiba kurang, jadi sayalah orang yang perlu bertanggungjawab. Begitupun, saya berasa bertuah dan beruntung apabila dapat bekerja di bawah penerbit, Haji Fadhil Teh ini kerana banyak bertolak ansur dan saling membantu apabila saya susah seperti tiada job dan membantu mak saya ketika sakit. Seterusnya dari segi lokasi. Di Zeel Production Sdn Bhd ini, penerbit suka menjalankan penggambaran di luar negara. Jadi, agak terhad untuk saya ke lokasi berkenaan bagi mencari yang terbaik. Tapi apa yang terbaik di sini, dari segi penginapan, senang nak berulang-alik dari lokasi penggambaran dan tempat tinggal sementara. Selalunya saya perlu banyak membuat kajian awal terlebih dahulu sebelum tiba di lokasi yang dituju.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Terakhirnya, dari segi jadual artis. Saya kena ikut jadual kelapangan mereka. Saya pernah diugut oleh pelakon yang nak berhenti dan tidak mahu meneruskan lakonan meskipun sudah dibayar sepenuhnya.

Bagaimana pula dari segi pengurusan artis?

Bercakap fasal pengurusan artis ini, banyak perbezaan ketara. Artis lama mereka sangat bekerjasama, komitmen dan tanggungjawab sebagai pelakon diberikan sehabis baik. Call time mereka jaga, datang awal sebelum waktunya, sesi latihan membaca skrip juga datang. Tidak kira sama ada pelakon drama, filem mahupun telefilem mereka telah berikan tanggungjawab sewajarnya.

Jika diimbau pada awal pembabitan saya, kebanyakan artis tumpu pada satu kerja. Mereka tidak mengambil banyak tawaran lakonan lain. Jadi, tidaklah bercanggah dengan kerja yang sedia ada ini.

Malangnya, pelapis baharu hari ini saya minta maaf cakap, sejujurnya segelintir mereka ini tidak baca skrip sebelum penggambaran berlangsung. Sampaikan pernah ada pelakon yang tidak ambil skrip hingga ke hari ketiga penggambaran. Pernah juga, skrip tak bawa kemudian mengganggu pembantu pengarah di lokasi.

Adakah saudara bertanggungjawab untuk menentukan jadual kerja pelakon?

Artis baharu sekarang ini lemah dari segi disiplin diri dan masa. Benar ada di dalam kalangan mereka itu banyak job lain, bagus. Saya tidak menghalang, sudah namanya rezeki. Sungguhpun begitu, kena pandai atur dan susun jadual anda sebagai pelakon, jangan bercanggah. Realitinya dahulu, saya tentukan jadual mereka, namun sekarang saya pula kena ikut jadual kerja mereka.

No Image Caption

Adapun jadual tersusun rapi tapi ada masalah disiplin masa, datang lambat ke lokasi penggambaran. Sayangnya ia berlaku kepada pelakon utama, baik pelakon lelaki dan perempuan, kedua-duanya sama.

Apakah nasihat saudara untuk bakat-bakat baharu yang bakal menyertai dunia lakonan ini?

Ingin saya katakan dengan tegasnya di sini, sebelum mereka ini dilepaskan ke gelanggang seni untuk beraksi, perlu ada satu badan khas seperti sekolah atau kelas persediaan awal sebelum bergelar artis.

Subjek-subjek yang perlu diberi penekanan kepada mereka ialah pembelajaran sivik dan kemanusiaan khusus dalam bidang lakonan. Saya percaya, di institusi seperti universiti awam dan swasta ada bidang berkaitan dengan industri kita, bagaimanapun, subjek sivik itu perlu diberi penekanan dengan tegas supaya mereka hadam dan serap apa yang mereka belajar, bukan sekadar mengejar impian nak bergelar pelakon ataupun artis.

Jika tidak ini lah yang terjadi sekarang, tanpa lesen sivik mereka bermaharajalela.

Apakah pandangan saudara mengenai pelakon yang berat untuk membantu dalam mempromosikan lakonan mereka di media sosial masing-masing?

Saya sejujurnya susah nak bercakap fasal perkara ini kerana mereka sudah dewasa, ada akal dan fikiran sendiri untuk fikir yang terbaik buat diri sendiri.

Hendak dinasihatkan pun sudah tak mampu, mereka ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Kebaikan mempromosi adalah untuk nama mereka juga. Jadi siapa yang rugi? Mungkin kerana ego agaknya.