Lombong mangan di Kuala Koh disita

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menyita lombong bijih mangan di Aring 11 Kuala Koh, Gua Musang sejak 11 Jun lepas.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, lombong itu disita kerana tidak mendapat skim kebenaran daripada JMG.

"Lesen kebenaran dikeluarkan kerajaan negeri, manakala kebenaran atau skim melombong perlu mendapat kelulusan daripada JMG.

“Syarikat perlombongan memiliki lesen daripada kerajaan negeri, namun tidak mempunyai skim kebenaran daripada JMG," katanya ketika ditemui selepas merasmikan as-Salihin cawangan Pantai Timur di Lembah Sireh hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Husam Musa meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat aktiviti perlombongan tanpa kebenaran di Kuala Koh.

Menurutnya, atas faktor terbabit JMG menyita lombong itu pada 11 Jun lalu sehingga mendapat kebenaran semula (untuk melombong).

"Kebenaran melakukan operasi melombong yang dikeluarkan kerajaan pusat sudah tamat tempoh pada 2017, namun aktiviti itu masih diteruskan sehingga kini," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, sehingga kini kerajaan negeri sudah memenuhi syarat dengan menarik balik saman berhubung tuntutan royalti minyak seperti yang diminta Kerajaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

“Proses penarikan saman sudah diselesaikan di semua peringkat dan kerajaan negeri kini menunggu maklum balas daripada kerajaan persekutuan.

“Kita belum menerima apa-apa berita dan berharap kerajaan (pusat) mempercepatkan proses pembayaran wang royalti itu bagi membolehkan wang berkenaan digunakan untuk kebajikan termasuk infrastruktur, kesihatan, kebersihan, masalah air, bantuan orang kurang upaya dan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya. - Bernama