Lelaki ditahan ugut bunuh semua ahli keluarga

Suspek, 30-an dibenarkan direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan kerana melakukan ugutan jenayah, dalam kejadian di Kampung Kuala Bekah, di sini, kelmarin.
Suspek, 30-an dibenarkan direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan kerana melakukan ugutan jenayah, dalam kejadian di Kampung Kuala Bekah, di sini, kelmarin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki direman empat hari bermula hari ini kerana disyaki mengamuk dengan merosakkan harta-benda di dalam rumah selain mengugut mahu membunuh semua ahli keluarganya, dalam kejadian di Kampung Kuala Bekah, di sini, kelmarin.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Roszita Md Saad bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap suspek, 30-an, di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dijalankan.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, suspek yang baru beberapa hari keluar dari Hospital Kuala Berang, Hulu Terengganu kerana menjalani rawatan mental dipercayai mengamuk secara tiba-tiba dengan membaling batu ke arah kereta jiran.

Menurut sumber, tidak puas dengan itu, suspek bertindak merosakkan barang-barang di dalam rumah selain mengugut akan membakar rumah berkenaan.

"Suspek semakin bertindak agresif apabila mengeluarkan kata-kata ugutan yang dia akan membunuh semua ahli keluarga termasuk kedua ibu bapanya selepas bengang bapanya, 73, menegur tindakan itu.

"Bapa suspek turut mendakwa kejadian seumpama itu kerap berlaku sebelum ini dan sekali gus mendatangkan kebimbangan serta ketakutan kepada dirinya dan ahli keluarga yang lain," katanya ketika dihubungi.

Sumber turut berkata, bapa suspek yang juga seorang peniaga akhirnya terpaksa mengambil keputusan membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri dan ahli keluarganya yang lain memandangkan di dalam rumah berkenaan terdapat dua pesakit strok iaitu isteri dan salah seorang anaknya.

Susulan laporan dibuat di Balai Polis Chabang Tiga, di sini, suspek ditangkap malam semalam di rumahnya.

Artikel Berkaitan: