KOM: Muthu menang ke atas 'taukenya' Karim

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

DATUK Karim Ibrahim gagal mempertahankan jawatan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) apabila tewas kepada penyandang Timbalan Presiden, Datuk S. M. Muthu pada pemilihan di Wisma OCM, di sini, hari ini.

Muthu yang juga merupakan Presiden Persatuan Olahraga Selangor, menang tipis ke atas 'taukenya' dengan kelebihan tiga undi apabila meraih 21 undi, berbanding Karim yang meraih 18 undi pada mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-16 KOM.

Seramai 39 perwakilan daripada 13 anggota gabungan KOM layak mengundi pada pemilihan itu.

Sebagai rekod, Karim memimpin badan induk olahraga negara untuk dua penggal sejak 2014, manakala Muthu berkhidmat sebagai timbalannya bagi tempoh yang sama.

Karim mencatatkan kemenangan besar ke atas Datuk Wan Hisham Wan Salleh pada 2014, sebelum mengekalkan jawatan itu setelah menang tanpa bertanding pada 2016.

Bekas ratu trek kebangsaan, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar, yang juga merupakan naib presiden sebelum ini, menang tanpa bertanding apabila satu-satunya pencabar iaitu bekas Presiden, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengumumkan menarik diri daripada bertanding semalam.

Empat kerusi naib presiden pula dimenangi oleh Datuk Wira Mark William Ling (34), Rajemah Sheikh Ahmad (28), Datuk Fadzil Abu Bakar (20) dan Josephine Kang yang meraih 19 undi.

Undian semula untuk memilih naib presiden keempat terpaksa diadakan semula apabila Josephine dan Mohamad Awang masing-masing meraih 19 undi.

Artikel Berkaitan:

Josephine menang dengan 20 undi mengatasi Mohamad (19) pada undian semula.

Keputusan penuh:

Presiden

1. Datuk Karim Ibrahim - 18 undi

2. Datuk S. M. Muthu - 21 undi

Timbalan Presiden

Datuk Paduka Mumtaz Jaafar (menang tanpa bertanding)

Naib Presiden (4 Jawatan)

1. Iyaru Muthusamy - 10

2. Datuk R. Annamalai - 15

3. Datuk Wira Mark William Ling - 34

4. Josephine Kang - 19 (20 pada undian semula)

5. Mohamad Awang - 19

6. Rajemah Sheikh Ahmad - 28

7. V. Mathivanan - 11

8. Datuk Fadzil Abu Bakar - 20

- Bernama