Fatwa ahli politik sekadar bahasa, kata Mufti Kelantan

Mohamad Shukri
Mohamad Shukri
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan ahli-ahli politik mengeluarkan sesuatu fatwa hanyalah sekadar penggunaan bahasa dan pandangan mereka semata-mata, kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

“Contohnya, Chef Wan (Datuk Redzuan Ismail) juga ada mengeluarkan fatwa. Mat Sabu satu ketika dahulu ketika menjadi pembangkang juga pernah mengatakan wajib untuk tumbangkan UMNO.

“Saya tidak mahulah komen perkara melibatkan politik ini, biarlah mereka bertelagah sesama mereka kerana jika hari ini kawan dulu lawan mungkin satu ketika nanti dalam Pakatan Harapan (PH) juga boleh berubah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu yang membidas fatwa sering digunakan Pas baru-baru ini.

Pada 23 Jun lalu, Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berpendirian wajib hukumnya bagi parti itu menjatuhkan kerajaan PH ketika ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-65 di Kuantan, Pahang.

Mohamad Shukri berkata, realitinya susah untuk mentafsir apa yang dikatakan oleh orang politik kerana bahasa yang digunakan tidak sama.

“Bagi saya apa yang dikatakan itu cuma dari segi bahasa sahaja dan sekadar pandangan terhadap pihak lawan mereka.

“Jika sesuatu perkara itu keluar daripada mufti maka boleh dianggap sebagai fatwa tetapi jika ia keluar daripada orang lain, maka ia sekadar pandangan sahaja tetapi kadang-kala mufti pun ada keluarkan pandangan juga,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, institusi mufti hanya campur tangan apabila ada pihak mengeluarkan pandangan bertentangan dengan hukum syarak.

“Sebagai contoh, ada orang mengatakan perlakuan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) bukan kesalahan jika berlaku dalam rumah. Yang ini (mufti) kena campur kerana pandangan ini tidak tepat,” ujarnya.