Khairy harap isu pemilihan MPM diselesai secara baik

Khairy pada sidang media hari ini.
Khairy pada sidang media hari ini.
A
A
A

REMBAU - "Dia mahu dakwa, dakwalah. Saya tidak suka buat tuduhan dan bertikam lidah dengan calon lain.

"Kita serah ahli gabungan buat keputusan dan mereka juga tahu rekod sama semasa jadi menteri dulu," kata bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin.

Beliau berkata demikian mengulas pelbagai tuduhan Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang antara lain mendakwa Khairy menjadi 'kambing hitam' bagi memenuhi kehendak pihak tertentu berhubung pencalonannya dalam Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, beliau hanya mahu isu berkenaan diselesaikan secara baik dan tidak mahu kemelut itu terus berpanjangan.

Katanya, jika MPM sudah tetapkan tarikh mesyuarat agung tahunan (AGM) yang baharu selepas ini, biarlah ia dinyatakan secara jelas tanpa mengubahnya.

Ditanya jika MPM membuat keputusan membatalkan pencalonannya, beliau akur namun mahu empat lagi calon yang menghantar pencalonan sama tarikh dengannya turut dibatalkan.

"Saya menghantar borang berdasarkan kenyataan Setiausaha Kehormat MPM, Siti Zaharah Abdul Khalid yang mengatakan pencalonan masih lagi diterima.

“Saya tak nampak kontroversi sangat. Saya hantar borang berdasarkan kenyataan Setiausaha Kehormat. Kalau cakap tidak boleh bertanding saya terima, saya cuma cuba nasib sebab lewat dapat tahu SM Nasaruddin SM Nasimuddin tidak bertanding.

Artikel Berkaitan:

“Kalau tak boleh tidak apa saya takkan paksa orang terima kita,” katanya pada pemberita ketika ditemui Majlis Rumah Terbuka Ahli Parlimen Rembau di Kampung Gadong, di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau masih mahu bertanding jika diminta menghantar borang semula, Khairy berkata akan berbuat demikian.

"Hari ini jika MPM mahu gugur pencalonan saya pun, saya tiada masalah kerana saya mahu ikut peraturan.

"Kalau dibuka semula, saya akan hantar nama semula. Tapi kalau MPM memutuskan AGM diteruskan dengan pencalonan lama tanpa lima nama yang hantar lewat itu pun saya terima," katanya.

Namun beliau enggan mengulas lanjut jika ada pihak tertentu yang tidak mahunya bertanding kerana tidak mahu pihak lain menuduhnya sengaja mempolitikkan pemilihan berkenaan.