Kerjasama UMNO, Pas atas penyatuan agama

Ahmad Fadzli (empat dari kiri) turut berkesempatan bertemu Ahmad Zahid (tengah)sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ketua Umno Bahagian Sungai Petani.
Ahmad Fadzli (empat dari kiri) turut berkesempatan bertemu Ahmad Zahid (tengah)sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ketua Umno Bahagian Sungai Petani.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Penyatuan antara ahli UMNO dan Pas dianggap sesuatu yang positif dalam usaha menyatupadukan umat Islam atas dasar agama.

ADUN Pantai Merdeka, Ahmad Fadzli Hashim berkata, beliau menganggap penyatuan berkenaan membawa kepada manfaat yang lebih besar sekali gus mensejahterakan umat Islam.

Beliau yang juga Yang Dipertua Pas Sungai Petani berkata, sebarang aktiviti, program atau majlis untuk menyatukan ummah, walau sekecil mana penganjuran dan sedikit mana penyatuan ummah itu, dianggap sebagai sesuatu yang positif.

"Bagi saya, ambil itu sebagai asas yang lebih besar, paling penting pemimpin gerakkan kesedaran dan keterbukaaan sebagai ciri asas penyatuan," katanya ketika ditemui hadir ke Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani di sini hari ini.

Hadir sama ke majlis berkenaan, tetamu khas, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ahmad Fadzli, pemimpin perlu memberi tauladan dan jadi ikutan kepada generasi kepimpinan akan datang.

"Usaha untuk mensejahterakan ummah, kita sebagai pemimpin kena tunjuk simulasi, bagaimana penyatuan ini dibuat sebagai satu anjuran agama, kalau semua faham saya percaya ikatan ini lebih kuat dan kukuh," katanya.

Beliau berkata, kalau dilihat keakraban antara UMNO dan Pas terutama di peringkat bahagian Sungai Petani, jelasnya ia dilakukan atas dasar penyatuan agama.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu boleh kuat sebab dimulakan atas dasar agama, kalau nak penyatuan ini lebih panjang, maka kenalah bermula dari akar umbi," katanya.