Orang asli tak tolak pembangunan

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Krisis kesihatan yang melanda masyarakat Orang asli baru-baru ini membawa kepada pelbagai masalah melibatkan kaum itu dan menimbulkan tanda tanya apa lagi yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kesejahteraan mereka.

Selain keperluan jelas untuk menangani isu kesihatan, perkara berkaitan pendidikan, infrastruktur, peluang pekerjaan, meningkatkan taraf ekonomi, hak milik tanah dan masalah lain juga perlu dilihat.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Prof Dr Juli Edo berkata hakikatnya, masyarakat orang asli tidak menolak perubahan dan pembangunan kerana mereka juga mendambakan untuk hidup sama seperti masyarakat lain di negara ini.

"Kami juga mahukan kemudahan asas lengkap, nak sistem pendidikan dan kesihatan yang baik, rumah yang cantik, mahu gunakan peralatan yang canggih...cuma pendapatan dan sumber ekonomi agak terhad," kata lulusan Australian National University itu.

Dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini, jelas kelihatan Juli sendiri memantau denyut nadi masyarakat peribumi itu kerana beliau juga berasal daripada kaum Semai.

Bangunan pejabatnya terletak di Jalan Ampang di sini yang sibuk dan dikelilingi bangunan pencakar langit, jauh berbeza daripada keadaan tempat tinggal yang dikaitkan dengan komuniti itu.

Pelawat yang hadir ke pejabatnya juga pastinya terlihat satu replika rumah orang asli, mungkin untuk mengingatkan beliau dari mana susur galurnya.

Berdasarkan data bancian Orang Asli 2010 Jakoa, populasi masyarakat peribumi itu ialah seramai 187,197 orang dari 853 perkampungan rasmi di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Biarpun negara sudah mengecapi kemerdekaan lebih 60 tahun, namun keutamaan yang diberikan kepada orang asli dilihat masih rendah," katanya.

Menurutnya, di sebalik pelbagai kemudahan asas yang disediakan, kira-kira 80 peratus daripada masyarakat orang asli masih diklasifikasikan sebagai kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) manakala bakinya dikategorikan sebagai miskin tegar.

Menyedari beliau memikul tugas yang besar, Juli menekankan semua pihak perlu terlibat - kerajaan negeri dan persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi korporat, orang asli sendiri dan lain-lain - untuk bersama-sama berusaha membawa komuniti Orang Asli ke masyarakat arus perdana.

Katanya, terdapat beberapa aspek yang mungkin tidak dapat dilaksanakan Jakoa sendiri, justeru kerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi dapat menyediakan kemudahan, pembangunan dan sebagainya.

“Kedua, rakan kongsi sinergi daripada dunia korporat boleh berkongsi teknologi dan kepakaran menerusi aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR). Ketuga, NGO harus tampil untuk memberi idea konstruktif termasuk membantu Jakoa menguruskan orang asli,” katanya.

Juli dalam pada itu menegaskan bahawa orang asli itu sendiri juga perlu berusaha bersama-sama dan berhadapan dengan cabaran yang mendatang.

“Orang asli sendiri perlu mencari jalan mereka, bukan bergantung kepada kerajaan setiap masa, bantuan dari luar. Mereka perlu menetapkan matlamat dan berusaha untuk mencapainya,” katanya. - Bernama