KPLB tak keluar memo larang kakitangan hadir jamuan raya

Rina
Rina
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) tidak pernah mengeluarkan arahan atau memo yang tidak membenarkan kakitangannya menghadiri majlis Hari Raya anjuran mana-mana pihak termasuk parti pembangkang.

Menterinya Datuk Seri Rina Harun berkata terpulang kepada kakitangan termasuk warga kerja agensi-agensi di bawah KPLB untuk menghadiri atau memenuhi jemputan hari raya.

“Saya tidak pasti tentang memo itu tetapi kalau kita lihat kita tidak pernah mengeluarkan memo begitu.

“Takkanlah pergi hari raya pun tak boleh. Nama pun rumah terbuka, jadi terpulang kepada siapa untuk menghadirinya, macam kita mengadakan rumah terbuka baru-baru ini, kita jemput semua orang tanpa mengira fahaman politik,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Dasar Pembangunan Luar Bandar oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sini hari ini.

Tular satu memo yang didakwa dikeluarkan KEMAS bertarikh semalam yang melarang semua kakitangan jabatan itu di Machang, Kelantan menghadiri sebarang program, mesyuarat dan keraian termasuk sambutan Hari Raya yang dianjurkan parti pembangkang.

Memo itu juga memaklumkan tindakan tatatertib akan dikenakan sekiranya mereka didapati melanggar larangan ditetapkan.

Rina bagaimanapun menasihatkan warga kerja kementerian agar menjaga imej sebagai kakitangan kerajaan apabila menghadiri mana-mana majlis atau program. - Bernama

Artikel Berkaitan: