Rosakkan kubur: Pelajar IPTS ditahan

Laporan akhbar Sinar Harian pada 23 Jun lalu, berhubung penduduk Kampung Pasir Putih, Bachang, di sini, gempar selepas kira-kira 20 kubur di tanah perkuburan terbabit dirosakkan.
Laporan akhbar Sinar Harian pada 23 Jun lalu, berhubung penduduk Kampung Pasir Putih, Bachang, di sini, gempar selepas kira-kira 20 kubur di tanah perkuburan terbabit dirosakkan.
A
A
A

MELAKA - Polis menahan seorang lagi suspek bagi membantu siasatan berhubung kejadian merosakkan kira-kira 20 kubur di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin Pasir Putih, Bachang, di sini, kira-kira seminggu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, lelaki berusia 19 tahun itu ditahan di tepi jalan, di Jalan Bachang, di sini, kira-kira jam 3.45 petang semalam.

Menurutnya, suspek merupakan seorang penuntut yang sedang mengikuti latihan kemahiran di sebuah institusi pengajian tinggi swasta.

"Bagaimanapun, siasatan awal mendapati, suspek kedua ini mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan juga waran tangkap mahkamah.

Suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan didakwa di Mahkamah Ayer Keroh, hari ini membabitkan kesalahan berkaitan dadah," katanya, ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Afzanizar berkata, polis berjaya mendapatkan perintah lanjutan reman selama dua minggu terhadap suspek sebelum ini iaitu seorang tukang rumah warga Indonesia.

"Reman disambung selama dua minggu," katanya.

Reman ke atas tukang rumah berusia 46 tahun itu dilanjutkan dari 28 Jun hingga 11 Julai ini.

Artikel Berkaitan:

Pada malam Jumaat lalu, penduduk Kampung Pasir Putih, Bachang, di sini, gempar selepas kira-kira 20 kubur di tanah perkuburan terbabit dirosakkan, batu nisannya dipecahkan dan dicabut selain dua kubur dibakar individu tidak bertanggungjawab.

Kedudukan tanah perkuburan seluas 0.8 hektar yang tidak berpagar serta tidak dilengkapi kamera litar tertutup itu memerlukan saksi tampil membantu siasatan.

Tanah perkuburan terbabit mempunyai dua penjaga, namun kedua-dua penjaga tidak berada di lokasi ketika kejadian berlaku.

Susulan daripada itu, Ahad lalu, polis menahan seorang lelaki warga Indonesia di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu, Bachang, di sini, kira-kira jam 5 petang dan direman pada Isnin lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.