Alat pengesan pencemaran sungai diperluaskan: MB Selangor

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

PETALING JAYA - Kerajaan Selangor sedia memperluaskan pemasangan alat pengesan pencemaran air di kawasan sungai sebagai langkah pemantauan yang lebih menyeluruh bagi mengelakkan berlaku pencemaran sungai sehingga memberi risiko kepada sumber air mentah yang diproses di loji-loji rawatan air.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pemantauan sedia ada sememangnya dilakukan yang mana ia telah menjadi ‘penyelamat’ daripada berlaku impak lebih besar dalam insiden pencemaran bau Sungai Semenyih yang dikesan semalam.

“Pemantauan kita lakukan sebab itu kita dapat hentikan sebelum ia masuk ke loji rawatan. Kalau tidak lagi susah, bau nak bersihkan lebih sukar.

“Setakat ini kita menggunakan pengesan-pengesan di muka sauk dan mungkin selepas ini kita perlu perluaskan di banyak tempat,” katanya ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Projek Tambahan Kilang Airfoil Servives Sdn Bhd di sini hari ini.

Bagaimanapun Amirudin berkata, agak mustahil untuk kawalan dan pemasangan alat-alat pengesan berkenaan dibuat di sepanjang aliran sungai.

“Sebab itu kita mengharapkan kesedaran masyarakat selain daripada kita telah pasang di muka sauk sebelum ia masuk ke loji rawatan kita dapat mengesan bau atau sebarang perubahan kuantiti kandungan air yang mengalir,”katanya.

Mengulas berhubung pencemaran bau yang berlaku di Sungai Semenyih, Amirudin berkata tahap pencemaran yang berlaku tidak begitu serius sehingga membahayakan pengguna namun kerajaan negeri mengambil langkah wajar bagi memberi keselesaan kepada rakyat secara total.

“Loji telah beroperasi semula bermakna pencemaran sudah dapat dikawal. Setakat semalam kita mendapati pencemaran itu tidak mencemarkan air tersebut dan merbahaya tetapi ia meninggalkan bau.

Artikel Berkaitan:

“Kesan daripada baru itu meninggalkan bau yang amat busuk. Sebab itu kita hentikan (hentitugas) tetapi sebenarnya ia boleh digunakan. Jadi kerajaan negeri ambil langkah untuk hentikan sebab kita tahu ia tidak selesa digunakan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran bau di Sungai Semenyih, gangguan air 9 malam ini

Terdahulu, beberapa kawasan di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang dilaporkan terkesan dengan gangguan bekalan air dan tekanan rendah bermula pada jam 9 malam semalam apabila Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sungai Semenyih) terpaksa dihentitugas kerana pencemaran bau yang dikesan di Sungai Semenyih semalam.

Pencemaran berkenaan dikenal pasti berpunca daripada sebuah kilang kelapa sawit dan arahan penutupan operasi telah dikeluarkan oleh kerajaan negeri.

Insiden terbaharu itu menambah satu lagi kes pencemaran yang memberi risiko terhadap bekalan air mentah di Sungai Semenyih selepas kes pembuangan bahan kimia pada Februari lalu.