Prosedur pinjaman pekerjaan diberi perhatian dalam penyediaan Belanjawan 2020

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika berucap pada Majlis Konsultasi Belanjawan 2020 di kementeriannya hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika berucap pada Majlis Konsultasi Belanjawan 2020 di kementeriannya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Keperluan melonggarkan prosedur pinjaman, urusan percukaian dan pengambilan pekerja, termasuk pekerja asing, merupakan antara isu utama yang diberi perhatian dalam penyediaan Belanjawan 2020, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Pada mesyuarat Majlis Konsultasi Belanjawan 2020 di sini hari ini, beliau berkata keperluan melonggarkan prosedur pinjaman bagi memudahkan perniagaan mendapatkan akses kepada peminjaman secara lebih meluas, akan diberi perhatian.

Isu aset penyampaian juga perlu diberi perhatian memandangkan terdapat pandangan bahawa birokrasi boleh dikurangkan, dan penyampaian oleh para anggota pentadbir boleh ditingkatkan supaya urusan rasmi dipermudah dan diselesaikan secara lebih efisien, katanya.

Kebimbangan tentang perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang akan menjejaskan iklim ekonomi negara, juga akan diberi perhatian dalam penyediaan Belanjawan 2020, katanya.

Turut diberi perhatian ialah mengenai perlunya menjalankan transformasi ke arah industri 4.0 supaya boleh menjadi sebahagian daripada ekonomi digital untuk membolehkan perniagaan terus wujud dan berkembang, katanya.

Perkara lain yang juga diberi penekanan dalam penyediaan Belanjawan 2020 ialah sosial dan keselamatan, katanya.

"Keselamatan merupakan prasyarat untuk pembangunan ekonomi yang kukuh. Sekiranya kita tidak ada suasana yang selamat, sukar untuk memastikan pembangunan dapat diteruskan," katanya.

Kerajaan, katanya akan memberi penekanan kepada anggota atau pasukan keselamatan supaya mereka boleh menjalankan tugas mereka secara profesional dan baik.

Artikel Berkaitan:

Mengenai isu kebajikan, Guan Eng berkata program kebajikan akan diteruskan dan kerajaan juga bersedia mendengar cadangan baharu berkaitannya.

"Namun, kami berharap semua pihak faham akan kekangan kewangan yang kami terpaksa tangani, khususnya berkaitan kehilangan RM150 bilion, yang merupakan halangan yang menyulitkan usaha untuk melaksanakan semua program kebajikan,” katanya.

Menurutnya, kehilangan RM150 bilion itu antara lain berpunca daripada kerugian daripada isu berkaitan 1MDB, Tabung Haji dan Felda. - Bernama