Aidil bangga bantu JDT raih gelaran keenam

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Diago Luis Santo (kanan) berjaya melepasi halangan pemain pertahanan Melaka United Jang Sukwo pada Perlawanan Bola Sepak Liga Super menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, malam tadi. - Foto Bernama
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Diago Luis Santo (kanan) berjaya melepasi halangan pemain pertahanan Melaka United Jang Sukwo pada Perlawanan Bola Sepak Liga Super menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

KEJAYAAN mencatat sejarah dan meraih kejuaraan kali keenam berturut-turut Liga Super bersama pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) adalah pencapaian yang amat membanggakan bagi pemain pertahanan, Aidil Zafuan Abdul Radzak dalam karier bola sepaknya.

Skuad Harimau Selatan yang mengesahkan gelaran itu lebih awal malam tadi menundukkan Melaka United 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat untuk menerajui takhta liga dengan mengumpul 46 mata, jauh meninggalkan pencabar di kedudukan kedua.

Aidil yang menyertai pasukan dari Selatan tanah air itu sejak 2013 menyifatkan gelaran yang dirangkul pasukannya hasil usaha keras dan kegigihan seluruh pasukan serta pengurusan selepas segala perancangan sejak pramusim berjalan dengan lancar.

"Kita mahu mencari piala untuk JDT secara berterusan selepas ini, usaha ini tidak akan terhenti namun tidak boleh terlalu selesa dengan apa yang dicapai kerana ada berbaki beberapa perlawanan yang kita perlu fokus.

"InsyaAllah kita mahu buat lagi sejarah untuk pasukan ini dan tidak mahu tewas lagi, sejak tahun pertama menyertai JDT saya memang berhasrat untuk membantu mendapatkan piala tetapi tidak menyangka ia adalah enam kali berturut-turut," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan di sini, malam tadi.

Terdahulu dalam aksi itu, gol pertama skuad Harimau Selatan diperoleh menerusi Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-7 dan penyerang import dari Brazil, Diogo Luis Santo menggandakan jaringan pada minit ke-27.

Bagaimanapun, Melaka United yang cuba bangkit di lewat perlawanan merapatkan jaringan menerusi sepakan Shukor Adan pada minit ke-84 namun ia terlambat untuk menyekat kemaraan JDT mengutip tiga mata untuk meraikan kejayaan lebih awal.

Dalam pada itu Aidil berkata, selagi khidmatnya diperlukan dalam pasukan itu, beliau bertekad untuk menghadiahkan lebih banyak kejayaan kepada rakyat Johor terutamanya pemilik Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengurus JDT, Luciano Figueroa yang gembira dengan kemenangan tersebut menyifatkan pasukan berkenaan telah melakukan tugas dengan cukup baik selain menguasai permainan di tempat lawan untuk mengutip tiga mata.

Tambahnya, beliau berbangga dengan kerja keras yang dilakukan para pemain sejak liga bermula selain mahu memenangi semua perlawanan seperti yang dilakukan sebelum ini dan menamatkan saingan liga dengan gemilang. - Bernama