Masyarakat Siam bakal jadi duta pelancongan di Kelantan

Datuk Mohamaddin Ketapi
Datuk Mohamaddin Ketapi
A
A
A

TUMPAT - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) akan mengangkat masyarakat Siam di Kelantan sebagai duta pelancongan bagi negeri ini.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, ia berikutan masyarakat minoriti di Kelantan itu mempunyai kebudayaan dan seni menarik harus diperkenalkan kepada pelancong yang melawat ke Malaysia.

"Ini adalah satu tarikan kepada industri pelancongan dan saya difahamkan memang ramai pelancong yang datang berkunjung ke tempat ini (Tumpat) kerana ia mempunyai banyak patung Buddha," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Citrawarna Masyarakat Siam Kelantan di Wat Pothivihan, Kampung Jambu di sini, malam ini.

Hadir sama Pengerusi Wanita Siam Malaysia Kelantan, KC Ngiam Eh Kuan dan Pengarah Motac Kelantan, Mohd Aidil Afizie Daud.

Mohamaddin berkata, kementeriannya akan membuat kajian bagaimana dapat membantu mereka menjadi duta dan antara langkah yang dikenal pasti termasuklah mengadakan kursus jangka pendek kepada masyarakat berkenaan.

Jajahan Tumpat, yang bersempadan dengan Takbai, Selatan Thailand didiami kebanyakan masyarakat Siam di negeri ini dan terkenal dengan patung 'Sleeping Buddha' terpanjang di Asia Tenggara dengan ukuran kira-kira 40 meter dan ditempatkan di Wat Pothivihan. - Bernama

Artikel Berkaitan: