Jangan salahkan Hafizul, kata Presiden Pafa

Ahmad Faizal sempat bergambar bersama motosikal klasik yang dijadikan sebagai hiasan pada majlis tersebut.
Ahmad Faizal sempat bergambar bersama motosikal klasik yang dijadikan sebagai hiasan pada majlis tersebut.
A
A
A

PENJAGA gawang Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy tidak harus dipersalahkan dek kerana jaringan 'ajaib' pemain import Pahang, Herold Goulon pada perlawan separuh akhir pertama Piala FA di Kuantan Sabtu lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, jaringan yang dihasilkan Goulon sememangnya menakjubkan dan bukan disebabkan kesilapan penjaga gol Perak.

Katanya, pada perlawanan tersebut, keseluruhan pemain menampilkan aksi terbaik termasuk Hafizul Hakim.

'Saya nak sebut gol ketiga yang dijaringkan pemain Pahang (Goulon) memang cantik. Ramai yang mengatakan kesilapan penjaga gol tetapi kita kena terima hakikat itu memang jaringan yang sangat cantik.

"Kita harus beri pujian kepadanya atas jaringan tersebut. Boleh menang Anugerah Puskas. Janganlah kerana gol itu, kita nak pertikai prestasi Hafizul Hakim," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata demikian mengulas mengenai kemenangan 3-1 Pahang ke atas Perak pada 22 Jun lalu di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang dan kritikan peminat mengenai prestasi Hafizul Hakim pada perlawanan tersebut.

Sementara itu, menjelang perlawanan kedua di Stadium Perak, di sini, Sabtu ini, Ahmad Faizal berharap Ketua Jurulatih, Mehmed Durakovic dapat memberi tumpuan terhadap kerapuhan pada bahagian pertahanan pasukan selepas bolos dua gol pada perlawanan Liga Super menentang Felda United, semalam setelah mendahului 3-0.

"Daripada perlawanan pertama saya amat yakin pasukan Perak dapat berikan saingan dan kita harap dapat jaringkan seberapa banyak gol dalam separuh masa pertama di Ipoh bagi mengekalkan momentum dan menekan agregat 2 gol yang sedang dinikmati Pahang ketika ini.

Artikel Berkaitan:

"Jurulatih perlu cari jalan mengukuhkan pertahanan terutama dalam perlawanan timbal balik kerana kita tak ada masalah untuk menjaringkan gol tetapi ada masalah untuk memastikan benteng tidak dibolosi," katanya.

Mengenai tiket pula, Ahmad Faizal akan mengarahkan PAFA untuk memastikan penjualan tiket dibuat secara telus agar penyokong tegar dapat masuk ke dalam stadium memberi sokongan.

Katanya, kapasiti Stadium Perak hanya mampu menampung 30,000 penonton dan selebihnya boleh memberikan sokongan di luar melalui siaran langsung yang disediakan.