PH tak boleh menyimpang daripada 3 prinsip pembentukan

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

KULIM - Tidak boleh ada penyimpangan daripada tiga prinsip utama yang disepakati parti komponen dalam PH kerana ia adalah asas kepada penyatuan kerjasama pakatan itu sekali gus berjaya membentuk kerajaan selepas PRU14 lalu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiga prinsip yang menjadi hala tuju pakatan itu merangkumi komitmen mempertahankan segala ketetapan dalam Perlembagaan Persekutuan, komitmen terhadap agenda reformasi dan kerjasama PH berasaskan saling menghormati serta mempercayai satu sama lain.

"Institusi raja, kedudukan Islam, kebebasan beragama, kedudukan istimewa (orang Melayu dan Bumiputera) dan kedudukan istimewa Bahasa Melayu adalah asas yg menyatukan kerjasama PH.

"Keduanya komitmen terhadap agenda reformasi untuk institusi awam, institusi penguat kuasa, institusi Parlimen ini tunjang kepada hala tuju PH. Kemudian perkara ketiga kerjasama PH bertunjangkan satu pakatan yang saling menghormati dan mempercayai," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam catatan laman blognya semalam yang menyatakan pemimpin parti itu tidak teragak-agak keluar daripada gabungan kerajaan sekiranya objektif Malaysia Baharu diketepikan.

Saifuddin Nasution yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu berkata, konteks yang dimaksudkan Lim itu adalah sekiranya terdapat penyimpangan terhadap tiga prinsip berkenaan.

"Saya sebut tiga perkara itu adalah prinsip membentuk Pakatan Harapan baik sebelum menjadi kerajaan mahupun selepas jadi kerajaan...parti politik itu dinamik. Mana ada parti politik statik...perbezaan pendapat dan pandangan itu lumrah biasa. Tetapi asas prinsip ini tidak boleh berbeza sebab telah disepakati," katanya.

Terdahulu, Saifuddin Nasution menyerahkan sumbangan kelengkapan persekolahan peringkat Parlimen Kulim Bandar Baharu di Sekolah Kebangsaan Terap dekat sini, hari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: