Pemilik katering dipenjara, sebat dan denda

No Image Caption
A
A
A

KLANG - Padah gagal menyediakan makanan untuk majlis perkahwinan, seorang pemilik syarikat katering dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret Klang.

Majistret Noratikah Ismail membuat keputusan itu terhadap Ashaari Muhammad Palut selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah wang pelanggannya berjumlah RM6,000.

Noratikah memerintah Ashaari disebat dua sebatan dan didenda RM10,000.

Sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut, mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara tambahan setahun.

Dalam ringkasan penghakimannya, Noratikah berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

"Mahkamah mendapati keterangan saksi-saksi dalam kes ini iaitu pengadu, isteri pengadu dan pekerja-pekerja tertuduh adalah boleh dipercayai.

"Keterangan menunjukan bahawa tertuduh telah menerima wang tunai RM 6,000 yang dibayar bagi tujuan mendapatkan perkhidmatan katering namun tertuduh gagal melaksanakan perkhidmatannya pada majlis perkahwinan pengadu," katanya.

Ashaari disabitkan dengan pertuduhan dengan niat menyalah gunakan wang RM6,000 yang bukan miliknya.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu dilakukan di syarikat Kota Permata Catering Desa Coalfields, Sungai Buloh, 3 April 2016.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syed Farid Syed Ali mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Ashaari yang diwakili peguam, Datuk Ramli Yusuff memohon penangguhan perlaksanaan hukuman atas alasan akan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan itu.

Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dan memerintah denda tersebut dijelaskan hari ini.

Ashaari bagaimana pun terpaksa bermalam dipenjara selepas tidak sempat menjelaskan bayaran denda tersebut hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan polis memburu pemilik katering bagi membantu siasatan kes penipuan pakej perkahwinan membabitkan ribuan ringgit.