Bantu sekolah mohon peruntukan dewan, surau

Wan Marzuki (kanan) memotong kek sebagai simbolik perasmian Majlis Hari Bersama Pelanggan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri PPD Kemaman.
A
A

KEMAMAN - Pakatan Harapan (PH) Kemaman sedia membantu sekolah di daerah ini untuk mendapatkan peruntukan kemudahan asas seperti dewan dan surau.

Pengerusi PH Kemaman, Datuk Seri Wan Marzuki Wan Sembok berkata, pihaknya menjadi pemudah cara menghubungkan sekolah dengan Kerajaan Pusat.

Katanya, pihak kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa prihatin dengan keperluan sekolah demi pembangunan pendidikan negara seterusnya demi menjaga keselesaan pelajar dan guru.

"Setakat ini kerajaan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk pengurusan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan membaik pulih sekolah di daerah ini.

"Ia melibatkan 12 buah sekolah di daerah ini yang saya rasmikan mesyuarat PIBG mereka," katanya pada Majlis Hari Bersama Pelanggan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kemaman di Dataran Unggul PPD Kemaman.

Wan Marzuki yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kemaman dan Pengarah Urusan Malko Industries (M) Sdn Bhd berkata, kerajaan berharap sokongan dan bantuan yang diberikan dapat membantu kecemerlangan pendidikan di daerah ini seiring dengan moto pendidikan daerah, Kemaman Unggul.

Sementara itu, beliau juga kagum dengan kehadiran kira-kira 3,000 tetamu pada majlis berkenaan yang menunjukkan kebersamaan antara PPD Kemaman dengan masyarakat.

Idris (empat kiri) merasmikan mural dinding PPD Kemaman.
Idris (empat kiri) merasmikan mural dinding PPD Kemaman.

"Saya kagum dengan pengurusan PPD Kemaman yang diterajui Pegawainya, Idris Bidin dalam merencanakan Majlis Hari Bersama Pelanggan dan Jamuan Aidilfitri ini dengan kehadiran ramai tetamu. Ia tunjukkan kerjasama erat antara PPD dengan semua pihak.

"Seiring dengan hubungan akrab ini diharap pencapaian daerah Kemaman dapat dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa bagi mencapai sasaran Kemaman Unggul," katanya.

Dalam pada itu, Idris berkata, Hari Bersama Pelanggan PPD Kemaman pada tahun ini sangat meriah berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana mendapat kerjasama baik dan memberangsangkan daripada semua guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP) serta wakil penglibatan ibu bapa dan komuniti (PIBK).

"Sempena majlis ini kita turut rasmikan mural dinding PPD Kemaman. Apa yang menarik mural dilukis bermotifkan bangunan ikonik Kemaman seperti muzium, rumah jambi, pelantar minyak, jambatan Bukit Kuang, Pantai Kemasik dan Air Terjun Jeram Tanduk," katanya.

Kesemua tetamu yang hadir menikmati kira-kira 100 jenis juadah yang dihidangkan termasuk kambing bakar dan ayam kekeng.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia