Konfrontasi baharu AS

Trump menandatangani perintah eksekutif baharu yang mengenakan sekatan ke atas Iran kelmarin.
Trump menandatangani perintah eksekutif baharu yang mengenakan sekatan ke atas Iran kelmarin.
A
A
A

WASHINGTON - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenakan sekatan ke atas Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan pegawai kanan lain beberapa hari selepas ia menarik balik serangan ke atas Teheran.

Trump menandatangani perintah eksekutif tersebut di Pejabat Oval di Rumah Putih dan menggelar ia sebagai tindak balas tegas dan setara dengan peningkatan provokasi Iran beberapa jam selepas beliau menyatakan Washington mahu menjadi ‘sahabat baharu’ Teheran jika ia melupakan cita-citanya untuk membangunkan senjata nuklear.

Jutawan hartanah itu turut berulang kali menegaskan Teheran tidak boleh meneruskan impiannya untuk mempunyai senjata nuklear.

“Kami tidak meminta konflik ini,” katanya dan turut memaklumkan sekatan itu yang boleh ditarik balik bergantung kepada respons Iran.

Jabatan Perbendaharaan akan menyenaraihitamkan Menteri Luar, Mohammed Javad Zarif yang didakwa memainkan peranan utama dalam perjanjian nuklear Iran 2015 dan lapan komander Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) menyasarkan aset keseluruhan bernilai berbilion dolar.

Ketegangan semakin meningkat selepas Iran menembak jatuh dron pengintip tentera laut AS, RQ-4 Global Hawk pada minggu lalu dan tuduhan dibuat Washington ke atas Teheran yang mendakwa negara itu mendalangi serangan ke atas kapal komersial di perairan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Teluk Oman.

Tutup laluan diplomasi

Sekatan baharu ekonomi ke atas AS itu didakwa tidak memberi sebarang impak kepada Iran.

Artikel Berkaitan:

“Masih ada lagi sekatan lain yang tidak dikenakan AS ke atas kami sejak 40 tahun lalu?” sindir jurucakap Kementerian Luar, Abbas Mousavi.

Beliau turut menegaskan sekatan dikenakan AS itu telah menutup sepenuhnya laluan diplomasi antara Teheran dan Washington.

“Pentadbiran Trump yang terdesak telah menghapuskan mekanisme antarabangsa untuk mengekalkan kedamaian dan keamanan dunia,” ujarnya.

Sekatan terbaharu itu bertujuan untuk menafikan akses kepimpinan Iran terhadap sumber kewangan, menyekat ia menggunakan sistem kewangan AS atau mempunyai akses kepada sebarang aset di AS.

Sementara itu, Presiden Iran, Hassan Rouhani mendakwa sekatan baharu AS itu jelas menunjukkan Washington ‘berbohong’ tentang tawaran rundingan seperti yang diuar-uarkan oleh mereka.

“Mereka menawarkan rundingan dalam masa sama mengenakan sekatan ke atas pemimpin Agung dan Menteri Luar? Sangat jelas mereka sebenarnya menipu,” tegas Rouhani ketika mesyuarat bersama menteri yang disiarkan menerusi stesen TV.

Terdahulu, Penasihat Keselamatan Negara AS, John Bolton memberitahu kononnya Washington telah membuka pintu untuk rundingan sebenar, namun mendakwa Iran tidak memberi sebarang respons.

Gesa dialog

Majlis Keselamatan PBB menggesa dialog dan langkah untuk menamatkan konflik di Teluk, namun Iran menolak sebarang rundingan dengan AS selepas Trump mengenakan sekatan baharu ke atas mereka.

Selepas mesyuarat selama dua jam, Majlis Keselamatan sepakat pihak bertelagah perlu mengelakkan sebarang konfrontasi ketenteraan dan mengambil tindakan segera untuk meredakan ketegangan.

“Anggota Majlis Keselamatan menggesa pertelingkahan itu diselesaikan secara aman menerusi sesi dialog,” menurut satu kenyataan yang turut disokong Rusia.

Britain, Perancis dan Jerman dalam kenyataan berasingan juga menggesa penyelesaian konflik dengan mematuhi peraturan antarabangsa.

Bagaimanapun, ketika mesyuarat tertutup yang diadakan atas permintaan Teheran, Duta Iran ke PBB, Majid Takht Ravanchi berkata, keadaan belum sesuai untuk berdialog.

“Kita tidak boleh memulakan dialog dengan pihak yang mengancam dan mengugut anda,” jelasnya.

Sebelum ini, siri sekatan ekonomi yang dikenakan AS ke atas Iran telah memberi impak besar kepada ekonomi negara tersebut. - Agensi