Boleh tukar status tanah padi kepada perumahan: Exco Perak

Choo Kiang (tiga dari kiri) menerima naskhah Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035 disampaikan Helmi (empat dari kanan) sambil diiringi Abdul Yunus (dua dari kiri) dan Hasnul Zulkarnain (tengah).
Choo Kiang (tiga dari kiri) menerima naskhah Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035 disampaikan Helmi (empat dari kanan) sambil diiringi Abdul Yunus (dua dari kiri) dan Hasnul Zulkarnain (tengah).
A
A
A

PARIT BUNTAR - Kerajaan Perak bersedia meluluskan penukaran status tanah pertanian dikhususkan pertanian padi di daerah Kerian hanya sekiranya terdapat permohonan pembangunan perumahan secara terancang dikemukakan kepada Majlis Daerah Kerian (MDK).

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Yong Choo Kiong berkata, keputusan membenarkan penukaran status tanah diwartakan sebagai jelapang padi daerah Kerian itu bagaimanapun akan dikaji secara terperinci dan diadakan sesi pendengaran awam terlebih dahulu sebelum diluluskan.

Menurutnya, di sebalik hasrat kerajaan negeri menjadikan daerah Kerian sebagai 'Dormitory Town' kepada penduduk Pulau Pinang bagi mendapatkan hartanah di sini dengan harga lebih murah, kerajaan negeri dan MDK masih memberi fokus utama kepada daerah itu menjadi kawasan Lembah Makanan Negara.

"Berdasarkan kedudukan geografi daerah Kerian terletak paling dekat dengan Pulau Pinang, daerah ini paling berpotensi menjadi 'dormitory town' di mana orang Pulau Pinang boleh membeli rumah dan hartanah di sini dengan harga lebih murah sambil kekal berulang-alik bekerja di negeri itu.

"Memandangkan daerah Kerian merupakan salah satu kawasan jelapang padi negara bersama-sama kawasan Sungai Manik, mungkin terdapat sekatan bagi mana-mana kawasan tanah pertanian padi untuk dibangunkan menjadi kawasan perumahan.

"Bagaimanapun, sekiranya kerajaan negeri mendapati pelan pembangunan perumahan secara terancang meliputi kawasan tanah luas termasuk tanah pertanian padi, tiada masalah untuk kami mempertimbangkan menukar status tanah itu kepada perumahan asalkan ianya bersesuaian dengan draf rancangan tempatan daerah Kerian," katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Publisiti Dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035 di Dewan Merdeka, di sini.

Artikel Berkaitan:

Choo Kiang (dua dari kanan) diiringi Helmi kanan) meninjau sebahagian Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035 dipamerkan kepada orang awam hari ini.
Choo Kiang (dua dari kanan) diiringi Helmi kanan) meninjau sebahagian Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035 dipamerkan kepada orang awam hari ini.

Turut hadir Exco Kerajaan Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim dan Abdul Yunus Jamhari, Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri dan Yang Dipertua(YDP) MDK, Helmi Jusoh@Yusoh.

Choo Kiang berkata, keputusan membenarkan penukaran status tanah pertanian padi untuk pembangunan di daerah Kerian bagaimanapun tidak akan dilaksanakan sewenang-wenangnya.

Menurutnya, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan sentiasa mengkaji keperluan pembangunan dari semasa ke semasa dan sekiranya ada, kerajaan negeri sedia memainkan peranan mengenal pasti tanah bersesuaian untuk dibuka kepada pembangunan.

"Paling penting perlu ada keseimbangan di antara usaha memelihara kehijauan alam sekitar dan keperluan pembangunan.

"Tidak guna kita terlalu memelihara alam sekitar, namun keperluan pembangunan tidak dilaksanakan.

"Pembangunan boleh dibuat dengan mengekalkan konsep kehijauan alam sekitar dan ianya dibuktikan ketika ini apabila ramai pemaju berlumba-lumba untuk melaksanakan pembangunan berasaskan konsep hijau," katanya.

Dalam perkembangan lain, Choo Kiong menegaskan Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035 turut memfokuskan kepada usaha membangunkan daerah Kerian sebagai kawasan Lembah Makanan Negara dengan tumpuan diberikan kepada industri penanaman padi, sawit dan akuakultur.

Menurutnya, pihaknya menyeru penduduk daerah Kerian supaya memberi lebih banyak input idea atau mengemukakan bantahan terhadap sebarang rancangan pembangunan dikemukakan dalam draf itu dalam tempoh sebulan bermula 25 Jun hingga 24 Julai hadapan.

"Sebarang input cadangan atau bantahan kita sudi terima bagi sama-sama memainkan peranan memajukan daerah Kerian pada masa hadapan.

"Input cadangan atau bantahan terhadap draf dipublisiti boleh dikemukakan terus kepada pejabat MDK atau melalui atas talian," katanya.