Projek Hospital Parit Buntar lewat setahun dari jadual asal

Boon Chye (dua, kanan) tekun mendengar sesi taklimat perkembangan projek pembinaan Hospital Parit Buntar, Simpang Lima Parit Buntar yang disampaikan wakil JKR.
Boon Chye (dua, kanan) tekun mendengar sesi taklimat perkembangan projek pembinaan Hospital Parit Buntar, Simpang Lima Parit Buntar yang disampaikan wakil JKR.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Bukan sebulan, dua bulan atau enam bulan.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye mendedahkan, projek pembinaan Hospital Parit Buntar di Simpang Lima di sini bakal disiapkan lewat setahun daripada jadual asal.

Bagaimanapun, pendedahan terbaharu itu sedikit sebanyak mengurangkan kegusaran rakyat daerah Kerian susulan Exco Kerajaan Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim sebelum ini menjangkakan projek pembinaan hospital baharu itu bakal mengalami kelewatan hingga dua tahun.

Boon Chye berkata, berdasarkan jadual pelaksanaan projek, pihaknya mengakui projek pembinaan hospital membabitkan kapasiti 76 katil pesakit itu kini sedang mengalami kelewatan sebanyak 172 hari apabila hanya 15 peratus sahaja berjaya dilaksanakan berbanding jadual asal menetapkan 35 peratus projek siap.

Menurutnya, pihaknya sedang bekerjasama dengan kontraktor dilantik bagi mengkaji beberapa faktor kelewatan projek antaranya masalah pelaksanaan rekabentuk, lukisan, tenaga kerja dan sebagainya.

"Meskipun berlaku kelewatan, kita yakin projek pembinaan ini akan dapati disiapkan dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.

Boon Chye (enam, kanan) bergambar bersama perwakilan dari JKR, Kementerian Kesihatan dan kontraktor sewaktu menghadiri sesi lawatan ke tapak pembinaan Hospital Parit Buntar hari ini.
Boon Chye (enam, kanan) bergambar bersama perwakilan dari JKR, Kementerian Kesihatan dan kontraktor sewaktu menghadiri sesi lawatan ke tapak pembinaan Hospital Parit Buntar hari ini.

"Setakat ini, projek ini mungkin akan lewat satu tahun berbanding jadual asal disebabkan beberapa faktor kelewatan antaranya masalah pelan, koordinasi projek, tenaga pekerja, pengalaman kontraktor dan sebagainya," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan Hospital Parit Buntar, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Abdul Yunus Jamhari.

Boon Chye bagaimanapun memberi jaminan masalah kelewatan pembinaan projek itu tidak akan memberi impak tambahan kos kepada kerajaan setelah mengadakan rundingan dengan kontraktor.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Kementerian Kesihatan akan memantau pelaksanaan projek itu lebih rapi dibantu wakil rakyat setempat demi memastikan tiada lagi penangguhan tambahan pembinaan Hospital Parit Buntar dari tarikh siap terkini ditetapkan.

"Mengenai status hospital bertaraf pakar, dalam pembinaan hospital baharu ini, antara rekabentuk disediakan memang meliputi kemudahan dewan bedah dan sedikit kemudahan pakar lain.

"Memandangkan Hospital Parit Buntar sedia ada bertaraf hospital kluster, hospital baharu ini akan bekerjasama dengan Hospital Taiping dalam menyediakan kemudahan pakar kepada pesakit meskipun tidak bertaraf pakar," katanya.

Boon Chye menegaskan sehingga kini belum ada tindakan susulan diambil ke atas kontraktor projek meskipun jadual projek mengalami kelewatan sehingga 172 hari.

Boon Chye (enam, kiri) mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Hospital Parit Buntar sambil diiringi wakil JKR, kontraktor dan Kementerian Kesihatan di Simpang Lima, Parit Buntar hari ini.
Boon Chye (enam, kiri) mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Hospital Parit Buntar sambil diiringi wakil JKR, kontraktor dan Kementerian Kesihatan di Simpang Lima, Parit Buntar hari ini.

Menurutnya, pihak kerajaan sedang mengadakan rundingan dengan kontraktor bagi menentukan sama ada kelewatan pembinaan projek berpunca kontraktor atau sebaliknya.

"Mengenai perkembangan projek pembinaan Hospital Seri Iskandar, kerajaan sudah mengenal pasti tapak untuk dibina dan menjangkakan tender projek akan dikeluarkan pada Disember tahun ini.

"Memandangkan pelan pembinaan Hospital Seri Iskandar akan mengikut model rekabentuk Hospital Parit Buntar 100 peratus, kami yakin segala kesulitan dihadapi sewaktu pembinaan Hospital Parit Buntar mungkin akan dapat diatasi sepenuhnya sewaktu pada projek pembinaan Hospital Seri Iskandar," katanya.

Pembinaan Hospital Parit Buntar mula diumumkan sejak tahun 2008 yang diikuti pengumuman rasmi daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2012.

Hospital Parit Buntar juga bakal menjadi hospital pertama di negara ini dibina menggunakan sistem Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) berasaskan reka bentuk imej tiga dimensi (3D).

Terdahulu, bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pembangunan hospital menelan kos RM136.7 juta itu membabitkan teknologi pembinaan terkini menggantikan AutoCAD.

Hospital Parit Buntar yang mempunyai 76 katil dibina di atas kawasan seluas 21 hektar akan dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan perubatan seperti wad bersalin, bilik pembedahan, orthopedik dan pediatrik di samping kemudahan rawatan pesakit luar serta hemodialisis.