Kerjasama Pas, UMNO beri kesan kepada lebih 20 kerusi

Mumtaz (kiri) menerangkan sesuatu kepada Mohd Amar (tengah) mengenai majlis tersebut. Turut kelihatan, Wan Roslan (kanan).
A
A

KOTA BHARU - Kerjasama yang terjalin antara Pas dan UMNO bakal beri kesan kepada lebih 20 kerusi yang berjaya dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 lalu.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, PH amat ‘takut’ dengan kerjasama tersebut kerana mereka melihat potensi yang boleh memusnahkan pentadbiran mereka ketika ini.

“Kalau Pas dan UMNO bekerjasama untuk PRU nanti, maka tergugatlah kerajaan PH yang ada pada hari ini. Ini kerana, antara 20 kerusi yang dimenangi itu adalah disebabkan pertembungan tiga penjuru iaitu PH, Pas dan UMNO.

“Tapi kalau Pas dan UMNO bergabung, lawan satu sama satu dengan PH, maka peluang PH memang jadi gelap. Berkemungkinan kerusi ini akan hilang dari PH.

“Maka peluang menjadi kerajaan adalah kecil. Ini dikatakan potensi kerusi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2019 di sebuah hotel, di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri, Wan Roslan Wan Hamat dan Mumtaz Md Nawi.

Menurutnya, kerjasama yang dijalinkan dengan UMNO bukan disebabkan soal kepimpinan, individu, politik kedua-dua parti dan sebagainya, namun ia berlandaskan kepentingan Islam dan bangsa melayu pada masa akan datang.

Mohd Amar juga berkata, kerjasama tersebut perlu mengalahkan PH kali ini memandangkan selama setahun pentadbiran baru, banyak perkara yang menimbulkan keresahan rakyat terutamanya agenda politik DAP itu sendiri.

“Bukan bangsa Cina atau India. Tapi bangsa DAP itu sendiri. Ini yang masalah di Malaysia kini. DAP adalah perkauman, mahu jadi ketua. Kita ada pengalaman dengan DAP, pernah bersama dengan dia dan kita tahu mereka sengaja cari kesempatan.

“Sebab itu semasa bersama dulu, dua kali dia lari keluar. Tinggalkan kita. Bila ada peluang, masuk balik. Bila tidak boleh menang, dia akan keluar. Tidak mustahil dia akan tinggalkan PKR dan Bersatu. Sejarah dengan kita (Pas) pun dua kali,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas, Pas tidak pernah mengkafirkan mana-mana individu atau parti, sebagaimana yang didakwa oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, apa yang dinyatakan dan dilakukan Pas sebelum ini adalah untuk menjelaskan batas-batas iman dan kufur, bukan mengkafirkan mana-mana pihak.

“Siapa kata UMNO kafir, kita tidak pernah kata pun. Sebagai contohnya, orang mengajar di masjid, siapa yang kentut, batal air sembahyangnya.

“Jadi kalau dia tidak kentut, dia tidak perlu bimbang apa-apa. Bukan kita kata orang itu, orang ini kentut, tapi kita kata sesiapa sahaja yang kentut, maka batal air sembahyangnya.

“Maka kami tidak pernah kafirkan sesiapa pun, sebab itu pada waktu dulu ada cabaran untuk ajak Pas berdebat, dan kita sanggup untuk berhujah,” katanya.

Tun M dalam satu kenyataan sebelum ini didakwa mempersoalkan adakah Pas sudah mengislamkan UMNO memandangkan Pas pernah mengkafirkan parti itu satu masa dulu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia