Tun M serah jawatan kepada Anwar dalam tempoh tiga tahun

Dr Mahathir dan Anwar
Dr Mahathir dan Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi memberi bayangan beliau tidak akan lama memegang jawatan tersebut perdana menteri.

Ahli Parlimen Langkawi itu mengulangi kenyataannya akan menyerahkan jawatan tersebut kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh tiga tahun.

"Setakat yang saya tahu, saya telah berjanji bahawa saya akan berundur dan Anwar akan menggantikan saya," kata beliau kepada wartawan CNBC, Tanvir Gill di Bangkok, Thailand ketika Sidang Kemuncak Asean.

Ketika ditanya adakah beliau akan terus berkhidmat sehingga isu hutang negara selesai sepenuhnya, Dr Mahathir menegaskan beliau akan berkhidmat tidak melebihi tiga tahun.

"Tidak, saya tidak akan melampaui tiga tahun.

“Keutamaan saya kini adalah untuk membolehkan Malaysia menyelesaikan masalah ini (hutang) walaupun selepas saya bersara,” ujarnya seperti dipetik laporan CNBC.

Teka-teki berkenaan bilakah Dr Mahathir akan berundur dan melepaskan jawatan kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Ketiadaan tempoh masa ditetapkan Pengerusi Bersatu itu menyebabkan beberapa penyokong Anwar mendesak Dr Mahathir menetapkan tarikh beliau akan melepaskan jawatan.

Artikel Berkaitan:

Begitupun, sehingga kini beliau masih belum menetapkan tarikhnya tatkala penyokongnya pula meminta beliau mempertimbangkan untuk kekal lebih lama memegang jawatan itu.

Anwar juga berkali-kali mengatakan beliau tiada keraguan bahawa Mahathir akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepadanya.

Bahkan, Majlis Pimpinan Pusat PKR yang bermesyuarat semalam menyatakan mereka berpuas hati dengan perancangan peralihan jawatan Perdana Menteri seperti yang termaktub dalam dokumen Muafakat Pakatan Harapan (PH) yang disepakati semua pimpinan utama PH sebelum ini.

Dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR itu, Anwar menegaskan Majlis Pimpinan Pusat parti juga memutuskan untuk terus memberikan sokongan kepada kepimpinan Dr Mahathir.

“PKR berpuas hati dengan rencana transisi Perdana Menteri seperti mana termaktub dalam dokumen muafakat PH yang disepakati semua pimpinan utama.

“PKR menegaskan sokongan terhadap pimpinan Tun Dr Mahathir untuk teruskan usaha beliau dan jemaah menteri memacu ekonomi, melaksana reformasi institusi dan menjamin keselamatan negara,” katanya.