Senarai calon Pesuruhjaya Suhakam telah diserah kepada PM

Liew Vui Keong
Liew Vui Keong
A
A
A

PUTRAJAYA - Senarai nama calon Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad seminggu lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

"Senarai nama calon itu diserahkan kepada perdana menteri untuk beliau membuat pengumuman," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Dialog Peringkat Tinggi Kebangsaan Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia hari ini.

Sejak 16 Jun, Suhakam 'lumpuh' kerana kerajaan belum melantik pengerusi baharu dan para pesuruhjayanya.

Suhakam sebelum ini dipengerusikan oleh Tan Sri Razali Ismail yang telah meletak jawatan pada 16 April, hampir dua minggu sebelum tempoh pelantikannya tamat pada 27 April.

Pada 25 April, tujuh pesuruhjaya juga menamatkan penggal perkhidmatan tiga tahun mereka. Mereka ialah Datuk Lok Yim Pheng, Datuk Mah Weng Kwai, Prof Datuk Dr Aishah Bidin, Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Francis Johen Adam, Datuk Godfrey Gregory Joitol dan Jerald Joseph.

Penggal pelantikan seseorang pesuruhjaya adalah tiga tahun. Kali terakhir pelantikan dibuat ialah pada Julai 2016 dan dikebelakangkan kepada April tahun yang sama.

Liew berkata Kabinet pada 20 Jun telah melulus dan mempersetujui cadangan supaya 'Hak Asasi Manusia' diletak di bawah portfolio beliau dan akan dibantu oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.

"Saya berharap perkembangan terbaru ini akan membuka laluan menuju ke depan yang penting dan positif dalam tadbir urus hak asasi manusia di Malaysia,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Mengenai dialog berkenaan, Liew berkata ia melibatkan pertukaran pandangan mengenai perniagaan dan hak asasi manusia, selain wawasan kerajaan berhubung perkembangan Pelan Tindakan Negara Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAP-BHR).

"Kerajaan komited hendak memastikan bahawa perniagaan dan projek-projek pembangunan dilaksanakan mengikut jangkaan pasaran global mengenai tadbir urusa yang baik, integriti, akauntabiliti dan ketelusan, selain penghormatan korporat terhadap hak asasi manusia," kata beliau. - Bernama