Dua skim baharu permudah Zakat Melaka

Omar (empat dari kanan) ketika menyempurnakan pelancaran Skim At Taisir dan Skim EZ Zakat Muamalat serta sambutan Hari Raya Aidilfitri Zakat Melaka di Banda Hilir hari ini.
Omar (empat dari kanan) ketika menyempurnakan pelancaran Skim At Taisir dan Skim EZ Zakat Muamalat serta sambutan Hari Raya Aidilfitri Zakat Melaka di Banda Hilir hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Zakat Melaka terus maju ke hadapan merealisasikan sistem pembayaran atas talian, Skim At-Taisir dan Skim EZ Zakat Muamalat sebagai langkah menambah pungutan zakat berskala besar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Halim Ismail berkata, pengenalan dua sistem berkenaan adalah kolaborasi pintar antara Bank Muamalat Malaysia Sdn Bhd dan Syarikat Simplepay Gateway Sdn Bhd yang lebih mesra pengguna, cepat, efisien dan lebih penting patuh syariah.

Menurutnya, Skim At-Taisir menawarkan perkhidmatan pembayaran zakat melalui kaedah Auto-Debit, potongan gaji tanpa melalui majikan manakala Skim EZ Zakat Muamalat adalah fasiliti baharu yang ditawarkan Bank Muamalat dengan membuat pengiraan dan potongan zakat ke atas akaun simpanan dan akaun semasa pendeposit beragama Islam.

"Skim At-Taisir bakal memberi penyelesaian kepada majikan yang tidak boleh menguruskan potongan zakat melalui skim potongan gaji majikan. Ia proses pemotongan gaji secara serta merta, tanpa memerlukan dokumentasi dan melalui proses yang banyak.

"Sementara Skim EZ Zakat Muamalat pula fasiliti terbaru ditawarkan Bank Muamalat, membuat pengiraan dan potongan zakat ke atas akaun simpanan dan akaun semasa pendeposit beragama Islam," katanya pada majlis pelancaran skim tersebut dan sambutan Hari Raya Aidilfitri Zakat Melaka oleh Speaker Dun, Datuk Omar Jaafar di sebuah hotel di Banda Hilir di sini hari ini.

Omar (empat dari kanan) dan Halim Ismail (lima dari kanan) pada majlis itu di Banda Hilir hari ini.
Omar (empat dari kanan) dan Halim Ismail (lima dari kanan) pada majlis itu di Banda Hilir hari ini.

Hadir sama, Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Md Azhan Samat, dan Pengurus Bank Muamalat Cawangan Semabok, Eddie Ariffin.

Abdul Halim berkata, antara kemudahan EZ Zakat ia mampu memudahkan kesemua pelanggan Bank Muamalat beragama Islam menunaikan kewajipan berzakat menerusi wang simpanan mereka dan kemudahan itu ditawarkan di semua 64 cawangan Bank Muamalat seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Dengan adanya skim ini (EZ Zakat), pendeposit tidak perlu hadir ke pejabat zakat untuk membayar zakat dan potongan zakat akan dilakukan secara automatik apabila cukup haul dan hisab secara tidak langsung berzakat juga melayakkan pendeposit mendapat pelepasan cukai pendapatan.

"Seiring dengan perkembangan teknologi Zakat Melaka turut menyediakan beberapa jaringan aplikasi perkhidmatan elektronik iaitu iMajikan dan iKendiri yang bertujuan memberikan kemudahan interaktif lebih mudah serta cekap kepada pembayaran zakat untuk melakukan transaksi pembayaran zakat," katanya.

Sementara itu, menurutnya, Zakat Melaka berjaya mengutip sebanyak RM34,428,389 kutipan zakat sehingga 20 Jun lalu sekali gus menunjukkan peningkatan sejumlah RM3,936,395 atau 9.97 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu, RM39,491,994.

"Manakala bilangan pembayar zakat pula meningkat kepada 38,472 dengan penambahan 976 orang (2.6 peratus) berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 37,496," katanya.