Dua KP baharu dilantik di JPM

Dari kiri: Raja Nushirwan, Rodzi
Dari kiri: Raja Nushirwan, Rodzi
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan dua pelantikan ketua pengarah di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ia membabitkan bekas Duta Besar di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin yang dilantik Ketua Pengarah Keselamatan Negara (MKN), manakala Datuk Rodzi Md Saad dilantik sebagai Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Rodzi sebelum itu merupakan Ketua Pengarah MKN.

Kedua-dua lantikan tersebut berkuat kuasa pada Selasa.

Raja Nushirwan, 53, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Abertay, Dundee, Scotland memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada Mac 1994 dan ditempatkan di Kementerian Luar Negeri.

Beliau berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam dengan pengkhususan kepada hubungan antarabangsa dan pernah ditempatkan di pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Sweden dan Singapura.

Sementara Rodzi, 59, berkelulusan sarjana dalam bidang Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi dari Universiti Teknologi MARA dan Ijazah Sarjana Muda Demografi dan Kajian Kependudukan (Kepujian) dari Universiti Malaya.

Beliau telah berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam selama 33 tahun serta berpengalaman luas dalam pengurusan dan pentadbiran keselamatan negara meliputi pelbagai aspek termasuk sempadan, maritim serta

keselamatan siber.

"Semoga pelantikan ini mampu memacu kecemerlangan MKN dalam menerajui penggubalan dasar dan pengurusan keselamatan negara secara komprehensif serta menerajui MAMPU ke arah pemodenan penyampaian perkhidmatan awam melalui inovasi dan pendigitalan," katanya.