Lelaki ditahan bersama dadah bernilai RM718,700

Narenasagaran (tengah) menunjukkan dadah heroin yang dirampas daripada suspek.
Narenasagaran (tengah) menunjukkan dadah heroin yang dirampas daripada suspek.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang pemuda ditahan bersama beberapa jenis dadah bernilai RM718,700 dalam dua serbuan di Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah (SPT) dan Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan (SPS), Sabtu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran berkata, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di tepi jalan di kawasan Seberang Jaya oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada jam 3.55 petang.

Menurutnya, polis kemudian menyerbu sebuah rumah yang disewa suspek di Simpang Ampat kira-kira sejam selepas suspek ditahan.

"Di rumah berkenaan, kita berjaya merampas 38,904 gram heroin bernilai RM518,700, 810 gram heroin base (RM65,000) dan 4,500 biji pil ekstasi (RM135,000).

"Kita turut merampas sebuah kereta jenis Honda Civic bernilai RM35,000. Lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan ini disyaki menjadi orang tengah dalam sindiket pengedaran dadah ini," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Narenasagaran berkata, rumah berkenaan disewa suspek sejak sebulan lalu untuk dijadikan stor menyimpan dan membungkus semula dadah berkenaan.

"Sindiket ini dipercayai aktif sejak enam bulan lalu. Bagaimanapun, kita masih menyiasat dalang sindiket ini dan bekalan dadah yang diperolehi. Ujian saringan dadah suspek menunjukkan negatif.

"Dia mempunyai dua rekod jenayah namun bukan melibatkan dadah. Kesemua dadah ini mampu membekalkan kepada 100,000 orang penagih. Suspek direman seminggu sehingga 29 Jun ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.