Bot nelayan Indonesia ditahan di Pulau Jarak

Kesemua tujuh awak-awak termasuk seorang tekong warga Indonesia ditahan bersama sebuah bot tiada nombor pendaftaran oleh APMM Perak, semalam.
Kesemua tujuh awak-awak termasuk seorang tekong warga Indonesia ditahan bersama sebuah bot tiada nombor pendaftaran oleh APMM Perak, semalam.
A
A
A

LUMUT - [DIKEMASKINI] Sebuah bot nelayan Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak kerana menceroboh perairan Pulau Jarak untuk mengaut hasil laut, pagi semalam.

Pengarah APMM Negeri Perak, Kapten Wan Mat Wan Abdullah berkata, lebih kurang jam 8.40 pagi, bot berkenaan dikesan bot ronda APMM ketika sedang melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan negeri Perak.

Menurutnya, bot tiada nombor pendaftaran bersama tujuh awak-awak termasuk seorang tekong warga Indonesia ditahan ketika sedang menangkap ikan kira-kira 28 batu nautika dari tenggara Pulau Jarak, dekat sini.

"Setelah diperiksa mendapati tekong gagal mengemukakan dokumen berkaitan bot dan kesemua enam awak–awak tiada pengenalan diri sah.

"Kes akan disiasat di bawah seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dalam perairan Malaysia.

"Tangkapan ini adalah tangkapan ketiga tahun ini melibatkan bot nelayan Indonesia dan merupakan antara bot terbesar pernah ditangkap APMM Perak," katanya kepada media, di sini hari ini.

Wan Mat berkata, bot bersama tekong dan awak-awak berusia antara 20 hingga 46 tahun kemudiannya diiringi balik ke Pusat Tahanan Vessel Kampong Acheh, dekat sini dan tiba pada jam 6 petang untuk siasatan lanjut.

"APMM Perak akan bertindak tegas kepada mana-mana bot nelayan melanggar syarat lesen menangkap ikan dan melakukan pencerobohan di zon tangkapan ikan," katanya.

Artikel Berkaitan: