Mayat disangka bangkai hanyut

No Image Caption
A
A
A

KUALA SELANGOR - Bau busuk yang disangka bangkai hanyut rupa-rupanya adalah mayat dibawa arus sungai berhampiran jambatan Jalan Bukit Cherakah-Meru, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab mengesahkan, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat terbabit.

"Mayat yang hanyut dibawa arus terbabit dilihat orang awam pada jam 5 petang semalam sebelum menghubungi panggilan kecemasan 999.

"Pihak polis dan bomba cuba kesan mayat terbabit dan pada jam 6.30 petang, mayat lelaki berbadan besar itu ditemui hanyut berhampiran belakang Jirat Cina Ijok.

"Bomba dan polis mengambil keputusan untuk tunggu di tempat perangkap sampah Batu 8 Ijok," katanya kepada Sinar Harian.

Md Asri berkata, mayat berjaya dibawa naik ke darat pada jam 8 malam selepas ditemui dengan jarak 100 meter dari perangkap sampah.

"Hasil siasatan awal mendapati, mayat lelaki terbabit tiada dokumen pengenalan diri, sudah mereput dan berbau.

"Mayat terbabit yang tidak berbaju dan hanya berseluar pendek warna biru itu dipercayai dibawa arus dari tempat lain.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, tiada luka luaran yang dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Hasil bedah siasat akan diperolehi hari ini," katanya.

Orang ramai yang kehilangan saudara mara diminta datang ke Bilik Mayat Hospital Tanjong Karang untuk tujuan pengecaman mayat.