Ambil alih lebuh raya lain jika projek perintis berjaya

Guan Eng (dua dari kiri) menikmati hidangan yang disediakan pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang.
Guan Eng (dua dari kiri) menikmati hidangan yang disediakan pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Kerajaan akan melakukan ambil alih konsesi lebuh raya lain sekiranya pengambilalihan empat lebuh raya yang diumumkan sebelum ini berjaya dan berjalan lancar.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pengambilalihan empat lebuh raya terbabit akan menjadi perintis dalam usaha membantu meringankan beban rakyat menerusi pengurangan kadar tol pada waktu tertentu.

“Pengambilalihan empat lebuh raya yang diumumkan sebelum ini adalah projek perintis pada waktu bukan puncak kita akan bagi secara percuma tetapi pada waktu puncak pengguna hanya perlu bayar caj kesesakan iaitu kadar tol sedia ada.

“Ini sesuatu penambaikan yang amat ketara berbanding dulu. Kelebihannya apabila kita beli konsesi ini, ia akan dibiayai oleh kadar tol yang dikutip,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang hari ini.

Guan Eng sebelum ini mengumumkan kerajaan mengemukakan tawaran rasmi untuk mengambil alih Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Menurutnya, tawaran pengambilalihan berjumlah RM6.2 bilion dibuat kepada Gamuda Berhad selaku syarikat pemegang konsesi keempat-empat lebuh raya berkenaan.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, formula tersebut adalah satu penambahbaikan yang ketara berbanding konsesi sebelum ini apabila kerajaan kini dapat menawarkan pengurangan kadar tol sehingga 30 peratus untuk waktu tertentu selain mengekalkan kadar tol sedia ada untuk tahun-tahun mendatang.

"Kerajaan juga masih mempunyai tempoh yang panjang untuk menilai formula pengambil alihan tol itu iaitu sehingga Oktober ini sebelum mendapat kelulusan Kabinet," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Guan Eng berkata, Kementerian Kewangan akan menambah 80 alat pengimbas kontena kepada Kastam di semua laluan pintu masuk seluruh negara.

"Dengan penambahan alat pengimbas ini ia dijangka dapat membantu Kastam mengenal pasti barangan yang tidak dibenarkan seperti plastik yang tidak boleh dikitar semula yang dibawa masuk ke negara ini.

"Saya menerima aduan daripada pihak Kastam yang mengalami kesukaran dalam menjalankan penguatkuasaan berikutan jumlah kontena yang masuk ke negara ini terlalu banyak. Kadang-kadang depan elok belakang ada macam-macam, itu yang jadi cabaran besar,” katanya.