Pas dedah pernah diajak bersama Bersatu, UMNO

Idris Ahmad - Foto Asril Aswandi Shukor
Idris Ahmad - Foto Asril Aswandi Shukor
A
A
A
KUANTAN- Pas mendedahkan pernah diajak menjalin kerjasama dengan Bersatu dan UMNO sebelum PRU14.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, Pas menolak pelawaan tersebut kerana berpegang kepada prinsip dan dasar yang meletakkan Islam di hadapan.

“Kalau kami nak senang, kalau kami nak dunia tanpa memikirkan prinsip, lebih baik kami bersama-sama dengan PH dulu sebelum PRU14.

"Pertemuan terakhir sekali saya, (Timbalan Presiden Pas), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, (Setiausaha Agung), Datuk Takiyuddin Hassan, (bekas Pengarah Pilihan Raya), Datuk Mustafa Ali bincang sebuah hotel di Bangsar.

“Dalam perbincangan tersebut kita minta supaya satu gabungan parti termasuk Gagasan Sejahtera untuk tolak DAP dan mereka kata kalau nak tolak DAP kita tak boleh menang.

"Waktu itu belum ada PH, masih Bersatu yang diwakili (Presiden Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, (Timbalan Presiden), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan (Naib Presiden Bersatu), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman serta Ketua Dasar dan Strategi Bersatu, Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff,” katanya dalam ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas ke-65, di sini hari ini.

Menurutnya, apabila pimpinan tertinggi Bersatu menolak syor untuk mengetepikan DAP, Pas memutuskan untuk tidak meneruskan perbincangan penyatuan tersebut.

“Kita (Pas) betul-betul minta maaf... Kalau nak bersama juga (dengan DAP) kami tarik ‘handbrake’," katanya.

Bukan itu sahaja, Idris turut memberitahu, sekiranya Pas hanya memikirkan soal pangkat dan kemenangan tanpa memikirkan prinsip Islam yang diperjuangkan sudah tentu mereka memilih untuk bersama UMNO sewaktu parti tersebut berkuasa sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah dijemput dulu pada zaman kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi ‘one by one’ bincang nak bersama, kita kata tak boleh.

“Kalau nak fikir bab itu, kita tak bersama UMNO hari ini, tapi bersama masa UMNO ketika mereka jadi kerajaan dan ada kuasa dulu,” ujarnya.

Beliau memberi keyakinan kepada semua ahli dan penyokong Pas bahawa pimpinan tidak akan sesekali mengkhianati amanah yang diberikan terutamanya melibatkan kerjasama dengan UMNO untuk berdepan pilihan raya akan datang.

Tanpa berselindung, Idris mengakui bukan mudah untuk mengorbankan perasaan apabila pimpinan membuat keputusan untuk bertaawun dan bertahaluf siyasi dengan UMNO pada PRU15.

“Atas prinsip dengar dan taat, ia tidak boleh diterima dengan sekelip mata, ia mesti dibina. Bukan senang tuan-tuan kita nak terima UMNO, bukan senang, saya akur.

"Kita daripada kecil sudah berlawan dengan UMNO tapi sekarang tiba-tiba boleh duduk sepentas dengan mereka, bukan senang... kita terpaksa, kena korbankan perasaan kita.

“Kita boleh korban lembu lima atau 10 ekor di markas, belum tentu kita boleh korban perasaan kita. Sebab itu belajarlah untuk korban perasaan menerima segala gerak kerja yang telah diputuskan oleh jemaah,” jelasnya.

Katanya, semua ahli Pas harus mendengar arahan daripada pimpinan bersandarkan kepada politik kerana Islam.

“Kalau politik kata rugi, Islam kata untung, kita ambil yang Islam walaupun terpaksa kita alami kekalahan dalam pilihan raya. Kerana kita berpolitik untuk mati bukan berpolitik untuk bekalan hidup, ini amalan kita untuk bertemu dengan ALLAH.

“Kita mesti dengar arahan daripada pimpinan, biarlah orang kata kita golongan wala’un, takpalah kami wala’un bukan malaun sudahlah,” katanya.