Mukhriz mahu anak muda Kedah aktif berpersatuan

Mukhriz (tengah) bergambar bersama penerima Anugerah Perdana Belia Negara, peringkat negeri Kedah dalam pelbagai kategori, selepas majlis perasmian sambutan Hari Belia negeri Kedah.
Mukhriz (tengah) bergambar bersama penerima Anugerah Perdana Belia Negara, peringkat negeri Kedah dalam pelbagai kategori, selepas majlis perasmian sambutan Hari Belia negeri Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Penglibatan belia dalam persatuan masih rendah dan di tahap kurang memuaskan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sehubungan itu kerajaan negeri menganjurkan pelbagai program melibatkan anak muda agar lebih ramai golongan itu terdedah kepada aktiviti berfaedah.

Menurutnya, belia adalah suara, semangat dan nadi bagi negara dan negeri dalam mencorak peradaban selain pencetus perubahan yang memacu kemajuan budaya dan bangsa.

“Kita mahu anak muda lebih bergiat aktif dalam persatuan, mengikut minat mereka sendiri. Kita sediakan platform untuk jaminan masa depan mereka yang lebih cerah. Apabila aktif dalam persatuan, timbul minat dan terlibat dalam aktiviti belia, jadi tidaklah goyang kaki dan buat perkara tidak bermanfaat,” katanya, selepas merasmikan sambutan Hari Belia peringkat negeri, di pekarangan Stadium Darul Aman, hari ini.

Mukhriz berkata, belia juga adalah ‘wajah’ masa lampau, kini dan hari depan, di mana tiada kelompok lain dalam masyarakat dapat menandingi pengaruh, idealisme, kesungguhan dan keberanian golongan belia.

Dalam ucapannya, Mukhriz berkata, golongan belia adalah pemimpin yang menjadi harapan negara dan bangsa, dan penting untuk mereka menetapkan hala tuju jelas selain menggilap potensi diri untuk teguhkan jati diri, berkualiti dan dinamik bagi menyumbang kepada kemakmuran negara.

“Sebab itu penting untuk belia meningkatkan budaya berpersatuan dengan menganggotai persatuan belia. Ia bukan sahaja dapat menyemai nilai-nilai kepimpinan dan jati diri, malah mengukuhkan persepaduan kalangan belia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Menurutnya, melalui berpersatuan, belia dapat meningkatkan iltizam menjadi pendukung semangat patriotisme dan sukarelawan.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga sarankan belia menjadi perintis usahawanan yang berpaksikan pengetahuan dan kemahiran serta pencetus inovasi. Kerajaan negeri ambil berat kepentingan belia dan sentiasa hargai sumbangan mereka,” katanya.

Mukhriz berkata, pihaknya komited mempelbagaikan peluang, menyediakan peruntukan dan dasar pembangunan belia komprehensif bagi menjana kecemerlangan belia.

“Saya menyokong usaha dan pendekatan bersepadu Jabatan Belia dan Sukan Kedah melahirkan lebih ramai belia berpersatuan dengan berpaksikan kemahiran, keusahawanan dan kepimpinan. Difahamkan usahawan belia pelbagai bidang dijejaki untuk dijadikan ikon,” katanya.

Menurutnya, antara inisiatif diwujudkan Kementerian Belia dan Sukan melalui Youth Business Expo 2019 (YBEX 2019), iaitu pusat sehenti perniagaan, menghimpunkan seluruh agensi yang mendukung pembentukan usahawan.

“Kejayaan dan pengalaman mereka diharap membuka minda dan mencetus semangat menggalakkan belia untuk mencontohi dan menjadikan usahawan belia cemerlang sebagai ikon. Namun kejayaan datang daripada belia itu sendiri untuk berubah,” katanya.

Mukhriz berkata, pihaknya juga mahu sektor korporat mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tampil merintis kerjasama memperkasakan pembangunan belia dalam pelbagai sektor industri.

“Pelbagai inisiatif dilaksanakan antaranya Malaysia Future Leaders School untuk membentuk pemimpin masa hadapan yang mempunyai jati diri tinggi, semangat kenegaraan kukuh, berdaya saing, berintegriti tinggi mendepani cabaran global,” katanya.

Menurutnya, gelombang ‘Youth Power’ juga digerakkan untuk memperkasakan anak muda ke tahap lebih tinggi, sebagai manifestasi generasi muda mencorakkan pembangunan negara.

“Kementerian Belia dan Sukan menggerakkan beberapa inisiatif baharu memperkasa belia seperti platform ‘Youth Power Club’ menggabungkan semua penggerak belia dan sukan, serta aktiviti anak muda yang fokus kepada kerja komuniti dan melatih pelapis kepimpinan anak muda,” katanya.