1MDB: Pelik tiada senarai nama individu lompat parti

Azalina (dua dari kanan) menerima cenderahati dari Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengerang, Aznan Tamin ketika hadir Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pengerang di Bayu Balau Beach Resort, Tanjung Balau.
Azalina (dua dari kanan) menerima cenderahati dari Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengerang, Aznan Tamin ketika hadir Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pengerang di Bayu Balau Beach Resort, Tanjung Balau.
A
A
A

KOTA TINGGI - Pendedahan senarai penama yang dipercayai terlibat wang 1MDB oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam disifatkan sebagai pelik kerana hanya banyak melibatkan orang UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau turut mempertikaikan mengapa individu yang telah lompat ke parti Bersatu tidak tersenarai dalam penama tersebut.

Menurutnya, bagaimanapun beliau berharap mahkamah akan berlaku adil dan tidak akan membuat keputusan dalam keadaan tertekan.

"Peliknya senarai itu semua orang UMNO, BN MCA, saya tunggu yang masuk Bersatu tak ada keluar nama pula. Tak tahu apa muslihat.

"Tetapi saya harap mahkamah akan berlaku adil supaya fakta dibawa peguam BN dan UMNO diterima dan mahkamah tidak akan buat keputusan dalam keadaan tertekan dan takut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pengerang di Bayu Balau Beach Resort, Tanjung Balau di sini hari ini.

Hadir sama, ADUN Penawar, Datuk Sharifah Azizah Syed Zin, Naib Ketua UMNO Bahagian Pengerang, Ghazali Abas, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengerang, Aznan Tamin, Ketua Puteri UMNO Bahagian Pengerang, Nurul Azlin Saari.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya memfailkan 41 kes permohonan melucut hak melibatkan jumlah dana bernilai RM270 juta yang diterima daripada 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang turut melibatkan 41 individu dan entiti tempatan dalam transaksi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Permohonan untuk lucut hak di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

Mengulas mengenai ucapannya, Azalina merupakan Ketua UMNO Bahagian Pengerang berkata, beliau mengingatkan kepada semua sayap agar mengutamakan perjuangan.

"Apa berlaku, cabaran terhadap UMNO ada hikmahnya dan sebagai ahli UMNO harus terima dan lihat pendekatan untuk beri kekuatan kepada perjuangan.

"Yang penting bagi saya perjuangan orang Melayu mesti bersatu. Saya juga minta agar sayap wanita, pemuda dan puteri berfikiran terbuka dalam mesyurat agung dan tak boleh lagi bincang mengenai hal remeh temeh sebaliknya kena bincang mengenai perjuangan UMNO," katanya.