10 orang asli disahkan positif demam campak

Mohd Jusoh
Mohd Jusoh
A
A
A
KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Seramai 10 daripada 13 pesakit melibatkan orang asli yang menerima rawatan di Hospital Hulu Terengganu disahkan positif measles (demam campak) manakala dua daripadanya diistiharkan bebas daripada penyakit berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi daripada pesakit sedang menunggu keputusan makmal.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Jusoh berkata, daripada 13 pesakit itu, sembilan sudah dibenarkan pulang manakala empat lagi masih diberi rawatan di wad.

"Pesakit yang masih dirawat ini termasuk tiga pesakit yang disahkan positif demam campak dan seorang pesakit yang sedang menunggu keputusan makmal.

"Bagi sembilan pesakit yang dibenarkan pulang pada Khamis lalu, tiga daripada mereka diberi suntikan vaksin measles.

"Dua pesakit pula diberi vitamin A termasuk seorang bayi berusia 10 bulan dan seorang kanak-kanak berusia setahun kerana didapati mereka mempunyai masalah kekurangan berat badan mengikut usia yang sepatutnya," katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan, hari ini.

Sebelum ini pada 12 Jun, seramai lapan pesakit orang asli dari Kuala Koh, Kelantan dimasukkan ke Hospital itu yang mana tujuh daripadanya mengalami simptom jangkitan saluran pernafasan manakala seorang lagi mengalami cirit birit, sakit perut serta muntah dan menerima rawatan sebagai pesakit Acute Gastroenteritis (AGE)

Selepas itu, pada 14 dan 17 Jun pula, dua lagi pesakit orang asli dari Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu dimasukkan ke hospital tersebut kerana mengalami simptom sama.

Pada 18 Jun, dua lagi pesakit Orang Asli dari Kuala Koh, Kelantan dimasukkan ke hospital sama selepas mengalami simptom jangkitan saluran pernafasan.
Artikel Berkaitan:


Manakala pada Khamis lalu, seorang lagi pesakit lelaki berusia 40 tahun dari Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu dimasukkan ke hospital berkenaan.