Peniaga nasi lemak dakwa diserang lelaki

Keadaan selepas gerai tempat Nur Anis berniaga diserang seorang lelaki pagi semalam.
Keadaan selepas gerai tempat Nur Anis berniaga diserang seorang lelaki pagi semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang peniaga nasi lemak berdepan detik cemas apabila diserang seorang lelaki ketika sedang berniaga di Sunway Kayangan, pagi semalam.

Peniaga berkenaan, Nur Anis Jamil, 29, berkata, dalam kejadian sekitar jam 9.50 pagi itu, lelaki yang menyerangnya juga memberi amaran agar dia segera menghentikan aktiviti perniagaan di situ.

Menurutnya, bukan setakat itu sahaja, meja gerainya juga ditolak sehingga nasi lemak dan lauk-pauk yang dijualnya tumpah.

"Kejadian berlaku pantas, walaupun semalam adik ipar ada bantu di gerai, perasaan takut dan cemas tetap ada ditambah saya bawa anak kecil.

"Lelaki itu datang menaiki Toyota Hilux yang dipandu rakannya. Dia terus datang ke gerai saya marah-marah. Berulang kali dia cakap, 'Aku dah kata jangan niaga tapi kau niaga juga', sambil tolak meja dan lauk-pauk sehingga jatuh ke lantai," katanya kepada Sinar Harian.

Walaupun masih terkejut dengan kejadian diserang lelaki semalam, Nur Anis tetap berniaga seperti biasa hari ini.
Walaupun masih terkejut dengan kejadian diserang lelaki semalam, Nur Anis tetap berniaga seperti biasa hari ini.

Nur Anis berkata, dia mengesyaki lelaki itu diupah seorang pengusaha kedai makan untuk mengganggu peniaga kecil susulan rasa tidak puas hati kerana mendakwa pendapatannya terjejas gara-gara kewujudan peniaga gerai makanan di kawasan Sunway Kayangan itu.

"Sebenarnya, ini bukan kali pertama saya terima amaran seperti itu, malah peniaga lain di sini juga pernah diugut.

Artikel Berkaitan:

"Kali pertama ibu mertua saya diugut sekitar 2017, dan pernah juga berhampiran gerainya dilonggokkan sampah.

"Perkara ini kami rujuk kepada jawatankuasa penduduk dan perbincangan antara kedua pihak juga telah dijalankan. Tapi, perkara ini masih lagi berlarutan dan kemuncaknya semalam, apabila saya diserang.

"Lelaki yang menyerang saya semalam juga ada memaklumkan dia tidak takut jika perkara ini dilaporkan kepada polis," katanya.

Nur Anis menambah, susulan kejadian itu, suaminya membuat laporan di Balai Polis Bukit Jelutong.

Keadaan selepas gerai tempat Nur Anis berniaga diserang seorang lelaki pagi semalam.
Keadaan selepas gerai tempat Nur Anis berniaga diserang seorang lelaki pagi semalam.

Hari ini dia ke Balai Polis Shah Alam untuk memberi kerjasama kepada siasatan polis.

"Hari ni saya berniaga seperti biasa. Saya berniaga secara sah, saya bayar sewa tapak gerai dengan pemilik kedai makan di sini dan mengikut peraturan berniaga yang dikemukakan pihak berkuasa.

"Dan waktu perniagaan saya hanya setengah hari sahaja bermula jam 7.30 pagi.

"Selepas diserang semalam, saya akui memang agak takut tapi penduduk di sini yang juga pelanggan tetap bagi sokongan untuk saya terus berniaga," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib ketika dihubungi, mengesahkan mengenai kejadian dan memaklumkan polis sedang giat melakukan siasatan kes berkenaan.