Keadilan Allahyarham Adib perlu disegerakan

Jamil (dua, kiri) mengetuai majlis tahlil ringkas di kediaman keluarga Allahyarham Muhammad Adib. Turut kelihatan Mohd Kassim (tengah).
Jamil (dua, kiri) mengetuai majlis tahlil ringkas di kediaman keluarga Allahyarham Muhammad Adib. Turut kelihatan Mohd Kassim (tengah).
A
A
A

ALOR SETAR - Rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama merasakan kematian dan juga kemalangan menimpa Allahyarham Pegawai Bomba Muhammad Adib Mohd Kassim harus diberikan keadilan yang sewajarnya oleh pihak berkuasa.

Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pihaknya mahu tindakan disegerakan dalam menuntut keadilan melalui hukuman yang seharusnya dikenakan kepada individu terlibat sehingga mengakibatkan kematian Muhammad Adib

Menurutnya, Umno Kedah menzahirkan rasa sedih kerana ini adalah tragedi di peringkat negara apabila seorang yang boleh digelarkan sebagai pejuang di dalam bidangnya sebagai seorang anggota bomba.

"Bukan soal membalas dendam, bukan soal kita rasis atau bermusuhan dengan sesiapa.

"Kita sebagai negara yang berpegang kepada perlembagaan dan kedaulatan undang-undang maka sewajarnya ia perlu ditegakkan sebagai satu keadilan khususnya kepada peristiwa yang berlaku," katanya.

Beliau berkata kepada media selepas menziarah keluarga Allahyarham Muhammad Adib di Kampung Tebengau, Kuala Kedah di sini, hari ini.

Menurutnya, seorang anggota bomba dipandang tinggi oleh masyarakat umum sebagai anggota penyelamat bukan sahaja sewaktu kebakaran tetapi juga bagi tugas menyelamat lain seperti berdepan binatang berbisa dan membantu mengeluarkan mangsa tersepit akibat kemalangan.

“Pihak berkuasa perlu diberikan kuasa penuh dalam menangani perkara ini ketika menjawab soalan berhubung saranan netizen yang mahu dalang-dalang kepada kejadian tersebut turut dihukum.

Artikel Berkaitan:

"Soal dalang dan sebagainya itu kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang kerana ia melibatkan kematian yang boleh ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran," katanya.

Terdahulu, Jamil Khir mengetuai bacaan tahlil ringkas bersama rombongan Umno Kedah dan penduduk kampung.

Sementara itu, bapa Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abd Hamid kelihatan sibuk melayani penduduk yang hadir ke majlis tahlil bermula jam kira-kira 11 pagi.