Sila log masuk terlebih dahulu.

Hati-hati kemunculan 'penebuk-penebuk kapal' dalam jemaah

Ahmad Yahya - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ahmad Yahya - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUANTAN – Pas Kedah memberi amaran kepada Pas untuk tidak membiarkan sejarah berulang dengan kemunculan 'penebuk-penebuk kapal' baharu dalam jemaah.

Perwakilan Pas Kedah, Ahmad Yahya mengingatkan risiko akan berlakunya perpecahan dalam kalangan parti Islam itu sekiranya kefahaman gagal diberikan berhubung kerjasama dengan UMNO.

Katanya, perkara sama juga turut dibimbangi berlaku dalam UMNO, memandangkan akan wujud pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk menggagalkan kerjasama tersebut.

"Sekiranya kita gagal laksanakan dua tugas ini, iaitu untuk memberi kefahaman kepada ahli dan wala’ (kepada keputusan pimpinan) nescaya kita berhadapan dengan cabaran di hadapan.

"Akan berjaya pihak yang berusaha sekarang untuk cari orang yang tidak berpuas hati di kalangan Pas dan UMNO dengan kerjasama ini untuk membentuk satu lagi parti baharu, maka akan berlaku lagi perpecahan di kalangan kita," katanya.

Ahmad berkata demikian ketika berucap membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Muktamar Pas ke-65, di Kuantan, Pahang, hari ini.

Selain itu, beliau juga berkata, Pas harus memastikan kefahaman diberikan kepada ahli-ahli mereka secara menyeluruh agar sejarah hitam perpecahan dalaman Pas sehingga melahirkan Amanah tidak akan berulang.

"Jaga-jaga, hati-hati jangan biar sejarah berulang iaitu akan ada 'penebuk-penebuk kapal' yang baru dalam jemaah ini.

Artikel Berkaitan:

"Pelihara dan jagalah jemaah ini agar kesatuan yang kita nak bina di luar sana mesti bermula dari dalam jemaah kita ini," katanya.

Beliau turut menegaskan, kerjasama antara kedua-dua parti Melayu itu harus didasari oleh asas Islam.

Tambahnya, kejayaan dan kecemerlangan yang dibuktikan oleh kerjasama Pas-UMNO menerusi kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, Rantau dan Cameron Highlands memberi kegembiraan kepada rakyat.

“Sehingga ada yang berbisik kepada saya, tak ada lagikah pemimpin PH yang akan meninggal? Saya jawab, kita tak tahu...tak ada ‘contact’ dengan malaikat maut.

“Maksudnya, bukan saja UMNO, malah rakyat juga terima apa yang kita perjuangkan,” jelasnya.