Sempat minta maaf dengan mak sebelum maut kemalangan

Mohd Rafi meninggal dunia selepas terlibat kemalangan di Batu 11, Kuala Ketil semalam. (Gambar kecil: Mohd Rafi Abdul Majid)
Mohd Rafi meninggal dunia selepas terlibat kemalangan di Batu 11, Kuala Ketil semalam. (Gambar kecil: Mohd Rafi Abdul Majid)
A
A
A

KUALA KETIL - Bekas pelajar pondok Pak Teh Kroh, Perak sempat memohon maaf pada ibunya sebelum maut akibat kemalangan di Batu 1 di sini kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian jam 1.30 petang itu, mangsa menaiki motosikal jenis Kriss 100 terlanggar sebuah lori yang keluar dari simpang dan meninggal dunia di lokasi.

Ibu, Kasmah Endut,54, dari Kampung Luar berkata, arwah, Mohd Rafi Abdul Majid, 28, bekerja sebagai penghantar ayam siap diproses di pekan Kuala Ketil.

Menurutnya, Mohd Rafi ada menghubunginya jam 12.55 tengah hari pada hari kejadian namun panggilan itu tidak sempat dijawab.

"Apabila mak cik hubunginya semula dia jawab tersalah tekan dan mahu hubungi kawannya. Sewaktu berbual arwah ada tanya khabar saya dan suami.

"Sebelum letak talefon arwah juga sempat memohon maaf," katanya ketika ditemui di Kampung Luar di sini semalam.

Kasmah berkata, dia merasa pelik dengan sikap arwah namun tidak mengesaki apa-apa terhadap anaknya itu yang sering menziarahinya atau menghubunginya.

"Arwah setiap minggu akan balik ziarah saya dan suami. Kebiasaannya dia juga akan talefon tanya khabar selepas Asar atau Maghrib.

Artikel Berkaitan:

"Waktu panggilan kelmarin, arwah juga beri tahu sedang bersiap-siap untuk pulang ke rumah ibu mertua terletak di Kampung Padang Geh dari market Kuala Ketil," katanya.

Kasmah Endut
Kasmah Endut

Menurutnya, anak ketiga daripada enam beradik itu dalam penantian menimang cahaya mata pertama yang dijangka lahir pada 29 Julai ini selain berhasrat untuk berhenti kerja untuk tinggal bersamanya di kampung.

"Dia kata selepas isterinya habis pantang nak balik tinggal bersama mak cik dan mulakan semula perniagaan nasi lemak.

"Sebelum menikah, arwah dan mak cik sama-sama berniaga nasi lemak di depan kampung. Selepas kahwin, barulah dia bekerja menghantar ayam di Kuala Ketil," katanya.

Kasmah berkata, arwah yang pernah menuntut ilmu di Pondok Pak Teh Kroh Perak hampir dua tahun mengambil keputusan berhenti untuk menjaga ayah yang mengalami sakit strok.

"Apabila suami mak cik sakit strok dalam tahun 2012 atau 2013, dia berhenti mengaji dan balik jaga ayahnya," katanya.

Kakak sulung arwah, Sakinah Abd Majid,41, berkata, arwah ada bergurau dengan kawan-kawannya bahawa kelmarin ialah hari terakhir dia menghantar ayam dan tidak menyangka ia menjadi kenyataan.

Dalam pada itu, abang, Mohd Salim Abd Majid berkata, adiknya sempat mengucap dua kalimah syahadah ketika dipapah orang ramai yang datang membantu.

Sementara itu, pihak polis mengesah menerima laporan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.