Lapan artis dilantik sebagai ikon AADK

Instagram black.hanifah
Instagram black.hanifah
A
A
A

SERAMAI lapan artis tempatan dilantik sebagai ikon Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam memantapkan usaha membanteras penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat.

Mereka terdiri daripada Black Hanifa, Tomok, Ismail Izzani, Aiman Tino, Keena Mentor, Izzmad Harun, kumpulan Floor 88 serta pelawak Achey.

Pelantikan itu dibuat sempena majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara AADK yang diwakili Pengarah Bahagian Pencegahan Abdul Rahman Hamid dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang diwakili Setiausaha Agungnya Hafiz Nafiah hari ini.

Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata pemilihan artis sebagai ikon AADK dibuat kerana mesej jauhi dadah dapat disampaikan dengan lebih luas menerusi kaedah ini, terutama kepada golongan muda.

"Artis mempunyai pengikut yang ramai di media sosial khususnya generasi muda... golongan ini yang perlu dibimbing supaya tidak mudah terjebak dengan gejala dadah. "Artis-artis ini juga akan didedahkan dengan latihan tertentu bagi membolehkan mereka menyampaikan maklumat kepada masyarakat dengan lebih tepat,” katanya kepada pemberita di sini.

Turut hadir Timbalan Presiden Seniman Zuraini Md Kassim.

Selain itu, Zulkifli berkata pihaknya bersama Seniman akan merangka beberapa program untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya dadah.

"Kita akan buat video pendek atau program tertentu dan medium seperti Facebook, Instagram atau Twitter perlu digunakan oleh artis untuk menarik masyarakat mengamalkan budaya hidup bebas tanpa dadah,” katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: