Dr Mahathir lancar Malaysia Fest 2019 di Bangkok

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Ketua Setiausaha MOA Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan melawat gerai semasa pelancaran Malaysia Fest 2019 hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Ketua Setiausaha MOA Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan melawat gerai semasa pelancaran Malaysia Fest 2019 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan Malaysia Fest 2019 yang mengetengahkan makanan, barangan dan persembahan kebudayaan terbaik Malaysia di Dataran CentralWorld di sini.

Di sebalik jadual yang padat, Dr Mahathir meluangkan kira-kira satu jam melawat gerai dan merasai beberapa jenis makanan jalanan asli Malaysia.

Festival itu yang berlangsung sejak semalam sehingga Ahad ini diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-34.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darrel Leiking, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel dan Pengerusi Dewan Perniagaan Malaysia-Thai (MTCC) Dr Hwee Khim Boo.

Lebih 80 syarikat dan usahawan dari Malaysia mempamerkan perkhidmatan serta keunikan produk mereka, termasuk makanan sejuk beku, kopi, bijirin, biskut, konfeksi, produk kecantikan dan kraftangan. Selain itu, sebanyak 24 gerai makanan menyajikan 68 menu makanan jalanan Malaysia yang disediakan dan dihidangkan panas-panas.

Festival Malaysia 2019 dianjurkan MTCC dan Conceptual Events Worldwide Co Ltd. Program mendapat sokongan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar (Matrade), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Tourism Malaysia.

Produk dan pakej pelancongan, peluang pendidikan, kemudahan dan produk penjagaan kesihatan juga dipamerkan pada acara tersebut.

Pengunjung juga berkesempatan menyaksikan persembahan kebudayaan tradisional Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Setiausaha MOA Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan berkata ‘Malaysia Street Food Lover 2019’ adalah antara program yang diadakan bersempena Malaysia Fest 2019. Beliau berkata ia merupakan satu usaha untuk menjual dan mempromosikan Malaysia melalui makanan.

"Ramai tanya kenapa MOA pilih Thailand yang merupakan syurga makanan untuk mempromosikan makanan jalanan Malaysia. Ini kerana kita mahu tahu penerimaan penduduk tempatan terhadap makanan kita.

"Ini merupakan usaha dan percubaan pengusaha makanan jalanan Malaysia untuk menembusi pasaran Thailand,” katanya, sambil menambah, sambutan makanan jalanan Malaysia adalah sangat baik.

"Semalam, 10 kilogram beras untuk Nasi Lemak habis. Kami menjangkakan lebih ramai pengunjung tempatan dan pelancong asing akan berkunjung ke Malaysia Street Food Lover pada hujung minggu ini,” katanya. -Bernama