X

Kindly register in order to view this article
!

MOA lantik bekas ADUN Batu Maung terajui LPNM

Salahuddin bercakap pada media di sidang media pada Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di sini semalam. Turut hadir ialah Timbalan Menteri MOA, Sim Tze Tzin (kiri) dan Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang baharu, Datuk Abdul Malik Abul Kassim. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Salahuddin Ayub berkata, pelantikan itu dibuat selaras kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 3(2) (a) Akta LPNM 2957 (Akta 427).

"Pemilihan Abdul Malik dibuat setelah mengambil kira semua faktor termasuk pengalaman yang dimiliki beliau yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai Exco Pulau Pinang dan bekas ADUN Batu Maung.

"Saya juga yakin dengan kemampuan beliau (Abdul Malik) untuk menerajui LPNM dan seterusnya dapat menjadikan agensi itu sebuah organisasi yang terus ke hadapan dan memainkan peranan untuk memajukan industri nanas negara yang kian berkembang pesat.

"Kementerian melalui LPNM juga terus komited dan mengambil peluang serta potensi yang terbuka luas dalam industri nanas yang mendapat permintaan tinggi terutamanya untuk pasaran eksport," katanya pada sidang akhbar sebaik selesai Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan di kementeriannya di sini semalam.

Salahuddin bersalam dan mengucapkan tahniah kepada Abdul Malik. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Salahuddin bersalam dan mengucapkan tahniah kepada Abdul Malik. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Beliau berkata, pembabitan meluas Abdul Malik dalam bidang korporat termasuk Ahli Mesyuarat Majlis Halal Malaysia juga bersesuaian dengan hala tuju yang diingini kementerian.

"Kementerian akan memastikan setiap individu yang dipilih (terajui organisasi kerajaan) mampu mengikuti dasar yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai tanaman nanas, Salahuddin optimis sektor tersebut kini menjadi salah satu tanaman penting dalam negara dan selaras pelantikan Abdul Malik yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang diharap mampu melonjakkan lagi industri berkenaan.

"Kementerian yakin dengan permintaan tinggi terutamanya untuk pasaran eksport mampu memberikan pendapatan yang lumayan kepada pekebun dan pengusaha yang terlibat," katanya.

Sebelum ini, jawatan Pengerusi LPNM disandang oleh ADUN Semarang Johor, Datuk Samsolbahri Jamali yang berkhidmat dari Julai 2013 hingga Jun 2018.