X

Kindly register in order to view this article
!

Ukraine desak Rusia bertanggungjawab bekal senjata

A
A

KUALA LUMPUR - Ukraine mendesak Rusia bertanggungjawab terhadap tuduhan membekalkan senjata yang menembak jatuh pesawat MH17 pada 2014.

Kedutaan Ukraine di Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, Rusia digesa memberi kerjasama dalam siasatan insiden itu seperti termaktub dalam Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Hasil siasatan dan penemuan seperti diumumkan Pasukan Siasatan Bersama (JIT) semalam amat penting kerana mereka mengemukakan jawapan konkrit berhubung asal usul peluru berpandu BUK yang digunakan bagi menembak jatuh MH17 pada 17 Julai 2014.

“Malah, suspek utama sudah dikenal pasti dan mereka adalah bekas ejen Rusia serta seorang rakyat Ukraine. Bagaimanapun siasatan masih belum menemukan siapa kru yang mengendalikan peluru berpandu BUK berkenaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pendakwaan terhadap suspek seperti diumumkan JIT membuktikan Rusia bertanggungjawab melanggar banyak konvensyen antarabangsa.

Rusia sebelum ini diberi banyak peluang bagi membantu siasatan antarabangsa berhubung MH17 namun sering memanipulasikan fakta.

Semalam, JIT MH17 mendedahkan empat suspek iaitu tiga dari Rusia dan seorang dari Ukraine adalah dalang utama menembak jatuh pesawat malang itu.

Pada sidang media secara langsung di Belanda, semalam JIT turut menamakan Igor Girkin, Sergey Dubinskiy, Oleg Pulatov dan Leonid Kharchenko, semuanya bekerja untuk agensi perisikan tentera (GRU) dari puak pemisah Republik Rakyat Donetsk (DNR) ketika kejadian sebagai suspek utama.

Semua suspek akan didakwa di Mahkamah Jenayah Belanda (ICC), pada 9 Mac tahun depan.

Dalam tragedi 17 Julai 2014, pesawat MH17 milik Malaysian Airlines meletup di udara ketika terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine.

Semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia hargai laporan JIT


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus