Dr Mahathir tiba di Bangkok untuk lawatan kerja empat hari

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini hari ini untuk lawatan kerja selama empat hari ke Thailand, di mana beliau akan bergabung dengan sembilan ketua kerajaan lain untuk Sidang Kemuncak Asean ke-34. Foto: Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini hari ini untuk lawatan kerja selama empat hari ke Thailand, di mana beliau akan bergabung dengan sembilan ketua kerajaan lain untuk Sidang Kemuncak Asean ke-34. Foto: Bernama
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini hari ini untuk lawatan kerja empat hari yang padat di Thailand dan menyertai sembilan lagi ketua kerajaan yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-34.

Pesawat khas yang membawa Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendarat di Terminal Udara 2, pangkalan Tentera Udara Diraja Thai di sini pada pukul 7.30 malam (waktu tempatan).

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah disambut oleh Menteri Dalam Negeri Thai Jeneral Anupong Paojinda dan isteri Kulaya Paojinda serta Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel.

Dr Mahathir mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan.

Perdana Menteri diiringi Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darrel Leiking dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta pegawai-pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri, Wisma Putra, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Dalam lawatan ketiganya ke Thailand, Dr Mahathir akan merasmikan Malaysia Fest 2019 yang julung kali dianjurkan di Central World Shopping Mall dan kemudian di sebelah tengah hari beliau akan menghadiri Dialog Perniagaan Malaysia-Thailand, satu mesyuarat perniagaan meja bulat bersama pemimpin-pemimpin industri Thailand, esok.

Pada Sabtu, perdana menteri akan menghadiri tiga perjumpaan, iaitu pertemuan pemimpin-pemimpin ASEAN dengan perwakilan Persidangan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), pertemuan dengan perwakilan Belia ASEAN dan pertemuan dengan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-Bac).

Selepas perjumpaan itu, perdana menteri akan menyertai Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN yang mana pemimpin negara anggota ASEAN akan mengadakan perbincangan mengenai isu berkaitan tema sidang kemuncak itu “Advancing Partnership for Sustainability” dan diikuti dengan Makan Malam Gala yang dianjurkan oleh Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha untuk pemimpin-pemimpin ASEAN dan Setiausaha Agung ASEAN.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad pula, Dr Mahathir akan menghadiri upacara pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-34.

Kemudian beliau akan menghadiri Sidang Kemuncak ke-13 Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan Sidang Kemuncak ke-12 Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia, Thailand (IMT-GT).

Sementara itu, Dr Siti Hasmah dijangka menghadiri Program Untuk Pasangan Pemimpin, yang mana isteri Perdana Menteri Thailand, Prof Madya Naraporn Chan o-cha selaku tuan rumah, yang terdiri daripada lawatan ke “National Museum of Royal Barges”, demonstrasi kraftangan Thai dan majlis makan tengah hari.

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah dijangka berlepas ke Malaysia pada petang Ahad. - Bernama