TPM sahkan Kabinet tak bincang isu video

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada Program Wacana Ilmu Sri Satria di kediaman rasminya Sri Satria hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada Program Wacana Ilmu Sri Satria di kediaman rasminya Sri Satria hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kabinet yang bermesyuarat hari ini tidak membincangkan tentang video intim yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Kenapa bincang? Ia tiada dalam agenda,” katanya sambil tertawa, ketika ditanya pemberita tentang perkara itu selepas menghadiri program ‘Bicara Ilmu Sri Satria’, di Sri Satria, kediaman rasmi timbalan perdana menteri, di sini hari ini.

Ditanya sama ada terdapat keperluan untuk membawa isu video intim itu kepada majlis presiden Pakatan Harapan bagi menyelesaikan pertelingkahan dalam parti dan memastikan keyakinan rakyat, Dr Wan Azizah berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Mana-mana parti akan ada sedikit sebanyak perbezaan politik antara mereka sendiri. Ia sebahagian daripada apa jua yang berlaku dalam arena politik,” katanya.

Beliau berkata pada masa itu isu video itu beransur-ansur selesai dan mula reda.

Mengenai program bulanan majlis bicara ilmu Sri Satria pada hari ini, Dr Wan Azizah berkata seorang tokoh akan menyampaikan syarahan sebulan sekali bagi memberi sedikit ilmu yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

Pada hari ini, syarahan bertajuk ‘Isu-isu dan Perkembangan Semasa Dunia Islam’ disampaikan oleh Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor Prof. Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.

Program bicara ilmu Sri Satria yang kini sudah masuk siri keenam merupakan idea Dr Wan Azizah sendiri bertujuan mengimarahkan Sri Satria sebagai pusat perkembangan ilmu. Lebih 300 orang hadir pada majlis kali ini.

Artikel Berkaitan:

Dr Wan Azizah ketika memberi ucapan ringkas selepas syarahan Mohammad Redzuan mengimbau kehadirannya dalam persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada awal Ramadan.

Beliau melahirkan rasa sedih kerana platform OIC tidak digunakan untuk negara Islam yang kaya membantu negara Islam yang miskin. - Bernama