Tiada gerakan singkir pemimpin, bekas pemimpin parti

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO menolak dakwaan wujud gerakan untuk menyingkirkan mana-mana pemimpin atau bekas pemimpin parti itu seperti yang diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, setiap pemimpin dan bekas pemimpin mempunyai jasa dan khidmat tersendiri serta kehadiran mereka tetap diperlukan bagi membangunkan semula parti.

Justeru katanya, Pemuda UMNO komited untuk memperkasakan solidariti dalaman parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15) yang dijangka bila-bila masa.

"Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Bilangan 5/2019 hari ini bersepakat untuk memfokuskan kepada agenda penyatuan ummah UMNO- Pas," katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Jelas Asyraf Wajdi lagi, dalam mesyuarat yang diadakan hari ini juga, pihaknya turut bersetuju untuk menolak budaya politik picisan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Pemuda UMNO politik picisan yang menjengkelkan sebagai mana tularnya video tidak bermoral yang dikaitkan dengan seorang menteri kanan.

"Kita tetap berpendirian politik kotor dan memalukan seperti ini perlu dihentikan segera," katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan seharusnya fokus dan memberi keutamaan untuk menangani isu-isu yang menyentuh kesusahan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Isu rakyat yang sedang bergelut dengan kos sara hidup yang kian meningkat lantaran dasar-dasar ekonomi PH yang masih kabur ini sewajarnya diberi perhatian," katanya.